Amal gaya hidup sihat

Amal gaya hidup sihat

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 21 Nov – Ke arah mengamalkan budaya hidup sihat dan sentiasa bergiat aktif dalam aktiviti seharian, seramai 18 orang terdiri daripada keluarga Haji Metali bin OKJP Haji Talip (HM Family) telah mengadakan aktiviti Spinning di Asy’Lin Fitness Studio, Central Mall Tutong, kelmarin.

Menurut salah seorang ahli keluarga tersebut, Awang Mohd Deli bin Haji Metali, kegiatan Spinning yang diketuai oleh Awang Aminur Ariffin selaku tenaga pengajar itu merupakan aktiviti kali pertama yang diadakan bagi ahli keluarga yang berminat mencuba kegiatan tersebut, memandangkan aktiviti Zumba yang diadakan sebelum ini hanya dihadiri oleh sebilangan ahli keluarga sahaja.

Aktiviti Spinning, jelasnya lagi, bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada ahli-ahli keluarga yang pertama kali mengikutinya selain dapat memberi kecergasan badan dan mengeratkan hubungan silaturrahim bersama ahli-ahli keluarga yang tinggal di Daerah Belait, Tutong dan Brunei dan Muara.

Gambar ramai ahli keluarga Haji Metali bersama tenaga pengajar.
Gambar ramai ahli keluarga Haji Metali bersama tenaga pengajar.

“Kegiatan Spinning pada masa ini semakin diminati ramai kerana ia merupakan sukan indoor dan apalagi ia melibatkan gerakan badan dengan mengikuti rentak yang diajar oleh tenaga pengajar.”

Beliau berharap kegiatan seperti ini akan dapat diteruskan dari masa ke semasa dan menggalakkan ahli-ahli keluarga lain supaya akan dapat bergiat sama dalam menjalankan beberapa kegiatan kekeluargaan.

Selain dapat dijadikan sebagai satu aktiviti yang menghiburkan, ia juga memberi satu pengalaman baru dan peluang kepada mereka yang ingin sentiasa bergiat aktif dan berminat dengan aktiviti tersebut.

ARTIKEL YANG SAMA