Amal pemanduan berhemah

Amal pemanduan berhemah

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Dalam keriangan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, orang ramai terutama para pengguna jalan raya disarankan untuk berhati-hati ketika di jalan raya dengan mematuhi setiap peraturan serta mengamalkan sikap pemanduan berhemah.

Sehubungan itu, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) mengadakan Kempen Beringat-ingat Keselamatan Jalan Raya bersempena ketibaan bulan Syawal sebagai inisiatif majlis berkenaan untuk meningkatkan keselamatan dan kesedaran orang ramai mengenai penggunaan serta pemanduan yang selamat dengan kempen berkenaan berlangsung di kawasan Lebuh raya Tungku, hari ini.

Mengetuai kempen dan mengagihkan cakera padat di kempen berkenaan ialah Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei selaku Timbalan Pengerusi 1, Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya, Dato Paduka Seri Bahrin bin Mohd Noor dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan, Awang Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos.

Turut hadir semasa kempen itu ialah Pemangku Pengarah Pengangkutan Darat, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud, pengarah-pengarah dari Kementerian Perhubungan, Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu lintas, Pasukan Polis Diraja Brunei serta ahli-ahli Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan raya. Semasa kempen itu, Dato Paduka Seri Bahrin, Awang Mohd Riza, Pengiran Mohd Amirrizal serta para pegawai kanan mengagihkan cakera padat kepada pemandu-pemandu di jalan raya.

Bagi kempen yang dikendalikan pada tahun ini, pengagihan cakera padat diadakan di mana cakera padat berkenaan mengandungi panduan pendidikan keselamatan jalan raya bagi pengguna-pengguna jalan raya.

Dato Paduka Seri Bahrin mengagihkan cakera padat kepada para pemandu semasa kempen dijalankan di lebuh raya Tungku.
Dato Paduka Seri Bahrin mengagihkan cakera padat kepada para pemandu semasa kempen dijalankan di lebuh raya Tungku.
Awang Mohd Riza mengagihkan cakera padat kepada salah seorang penunggang motosikal semasa kempen dijalankan di lebuh raya Tungku.
Awang Mohd Riza mengagihkan cakera padat kepada salah seorang penunggang motosikal semasa kempen dijalankan di lebuh raya Tungku.

Selain dari Daerah Brunei Muara, kempen serupa juga dijalankan di daerah-daerah lain di mana cakera padat bukan sahaja diberikan kepada pemandu-pemandu di jalan raya tetapi juga diikuti dengan pengagihan cakera padat ke sekolah-sekolah dan institusi pendidikan tinggi.

Melalui kempen itu, para pemandu dan pengguna jalan raya disarankan supaya sentiasa peka dan ingat akan beberapa aspek keselamatan di jalan raya termasuk untuk tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, untuk tidak mengekori kenderaan di hadapan terlalu dekat, mematuhi had laju di jalan-jalan raya yang telah ditetapkan, tidak melanggar lampu merah serta sentiasa berwaspada dan berawas-awas ketika pejalan kaki menyeberangi jalan raya. Dengan adanya kempen itu, para pemandu dan pengguna jalan raya diharap supaya akan sentiasa mematuhi segala peraturan-peraturan serta undang-undang ketika berada di jalan raya dan sentiasa bersikap bertolak ansur bagi menggelakkan dari berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

ARTIKEL YANG SAMA