Amal sikap berjimat-cermat

Amal sikap berjimat-cermat

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Ahli-ahli lantikan baru Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32, 2016 disarankan supaya mengambil langkah proaktif dan mengamalkan penjimatan dalam membuat persiapan terhadap kelengkapan dan logistik serta dalam pembelian bahan prop.

Sambil berhasrat untuk menganjurkan Sambutan Hari Kebangsaan yang meriah, mereka diingatkan akan pentingnya jawatankuasa itu mengamalkan sikap berjimat-cermat dan berbelanja secara berhemah.

Sikap itu menuntut kepada kebijaksanaan semua jawatankuasa agar bijak merancang dan membuat pembelian dan mendapatkan perkhidmatan.

Saranan itu dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-32 Tahun 2016, yang berlangsung di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin semasa mesyuarat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.
Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair dan Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin semasa mesyuarat di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Hadir pada mesyuarat itu ialah Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar dan Grand Chamberlain, Yang Amat Mulia Pengiran Penggawa Laila Bentara Istiadat Diraja Dalam Istana Pengiran Haji Alauddin bin Pengiran Paduka Tuan Pengiran Haji Abu Bakar.

Juga hadir ialah Penolong Kanan Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Seri Wijaya Pengiran Haji Ahmad bin Pengiran Mohd Yusof dan Pengetua Pusat Sejarah, Yang Berhormat Pehin Jawatan Dalam Seri Maharaja Dato Seri Utama Dr. Haji Awang Mohd Jamil Al-Sufri bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair seterusnya menyuarakan harapan agar mesyuarat itu akan dapat menghasilkan pemikiran baru yang memberikan nilai tambah kepada pemilihan tema, logo dan bentuk persembahan padang pada hari kemuncak 23 Februari 2016 kelak.

Katanya lagi, Sambutan Hari Kebangsaan sewajarnya diberikan perhatian penting dalam agenda kebangsaan di kala negara dan bangsa sedang melayari tahun-tahun kemerdekaan.

Ini penting bagi memastikan semangat cintakan raja, bangsa, tanah air, agama dan identiti bangsa akan terus subur dalam kalangan rakyat dan penduduk terutama dalam kalangan generasi muda.

“Tanpa adanya semangat patriotisme dan cintakan negara yang tebal dan ketahanan identiti bangsa yang mendalam untuk dijadikan sebagai perisai ketahanan nasional, segala cabaran dan pengaruh yang kita hadapi akan melemahkan bangsa dan menggugat perpaduan, keamanan, kestabilan dan keselamatan negara dan bangsa,” ujarnya.

Menurut beliau, di situlah peranan Sambutan Hari Kebangsaan sebagai penyubur dan pembakar semangat cintakan negara, di samping memberi peringatan dan kesedaran kepada rakyat dan penduduk untuk sentiasa menghargai erti kemerdekaan dalam kehidupan bernegara.

Sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun, ujarnya lagi, mengingatkan dan menyedarkan rakyat serta penduduk bahawa kemerdekaan/kedaulatan bangsa dan negara merupakan aset/warisan yang sangat tinggi nilainya yang perlu diperkukuh serta dipertahankan pada setiap masa.

Antara agenda perbincangan termasuk mengenai tema, logo, acara Sambutan Hari Kebangsaan ke-32, Majlis Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar dan pengagihan bendera kecil meja, Majlis Kesyukuran, format serta konsep upacara perhimpunan agung.

ARTIKEL YANG SAMA