Amal tabiat kebersihan diri

Amal tabiat kebersihan diri

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Mei – Rentokil Initial (B) Sdn Bhd, baru-baru ini, telah melancarkan Ceramah Kesedaran Kebersihan Diri di Sekolah Rendah Selapon, Kampung Selapon, Mukim Batu Apoi, Temburong.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis pelancaran ceramah berkenaan, pada 21 Mei yang lalu itu, ialah Ketua Unit Promosi Kesihatan, Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, Hajah Jamilah binti Haji Mohamed Ali, dan turut dihadiri para pegawai unit berkenaan.

Rentokil Initial dalam kenyataannya memberitahu bahawa ceramah berkenaan merupakan sebahagian daripada Program Kesedaran Kebersihannya, selaku penaja rasmi pemenang Anugerah dan Keceriaan Maktab dan Sekolah-Sekolah Kerajaan anjuran Unit Promosi Kesihatan.

Tajaan berkenaan juga termasuk perkhidmatan kebersihan dan perkhidmatan kawalan serangga secara percuma.

Semasa menyampaikan ucapan alu-aluannya di majlis itu, Ketua Pemasaran Rentokil Initial Brunei, Dayang Norsalihah binti Haji Bujang berkata, “Kami, Rentokil Initial mahu semua pelajar, tanpa mengira usia, mencapai potensi akademik mereka sepenuhnya.

Gambar ramai tetamu kehormat bersama kakitangan Rentokil Initial, para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan.
Gambar ramai tetamu kehormat bersama kakitangan Rentokil Initial, para pelajar dan guru-guru sekolah berkenaan.
Salah seorang pelajar menggunakan pembersih tangan.
Salah seorang pelajar menggunakan pembersih tangan.

“Sebagai pembekal perkhidmatan kemudahan kebersihan utama dengan bertahun-tahun pengalaman, kami memahami bahawa kebersihan adalah penting dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

“Misi kami adalah untuk meningkatkan kesedaran kebersihan dalam kalangan pelajar dengan menggalakkan mereka untuk mengamalkan tabiat kebersihan diri yang betul dan pada masa yang sama memperbaiki standard kebersihan di sekolah-sekolah kerajaan,” tambahnya.

Ceramah berkenaan menekankan mengenai pencucian tangan yang betul, tabiat-tabiat di dalam tandas dan kebersihan wanita dengan turut mengadakan kuiz yang menawarkan hadiah-hadiah kepada para pemenang. Demonstrasi kemudahan kebersihan seperti dispenser juga diadakan.

Majlis diakhiri dengan penyampaian sijil dan poster mencuci tangan daripada Rentokil Initial kepada sekolah berkenaan.

Ceramah seumpamanya juga diadakan di sekolah-sekolah juara lain iaitu Sekolah Rendah Datu Ahmad, Kampong Ayer, Sekolah Rendah Sungai Tali, Lumut dan Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.

ARTIKEL YANG SAMA