Amal urus tadbir dinamik

Amal urus tadbir dinamik

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 25 Sept – Umat Islam digalakkan untuk bekerja atau mencari rezeki yang halal untuk diri sendiri mahupun keluarga sama ada bekerja dalam sektor swasta, kerajaan atau berusaha sendiri seperti berniaga, menjadi nelayan dan sebagainya.

Ini bertepatan sekali dengan seruan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dalam titahnya baru-baru ini agar rakyat negara ini segera melakukan penghijrahan minda, dari suka menunggu-nunggu dan berpeluk tubuh, kepada rajin bekerja dan daripada banyak bergantung harap kepada lebih membanyakkan usaha dan daripada kurang berdikari kepada lebih berdikari.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai perkara itu menjelang sambutan Hari Perkhidmatan Awam pada 29 September ini yang diraikan setiap tahun.

Menurut Khatib, dengan tema tahun ini, Urus Tadbir Dinamik ke Arah Kesejahteraan Negara, kerajaan sangat mengharapkan perkhidmatan awam di negara ini efisien, berkesan serta berdaya tahan untuk pembangunan negara yang dinamik bagi kesejahteraan semua. Harapan murni ini hendaklah disanjung oleh warga perkhidmatan awam dengan membulatkan iltizam dan komitmen untuk perkhidmatan yang lebih berkualiti.

Kualiti ini salah satunya ialah bersikap amanah yang perlu difahami, dihayati dan diamalkan oleh kakitangan awam. Orang yang tidak amanah tidak boleh diberikan tanggungjawab kerana dia tidak akan sepenuhnya melaksanakan tanggungjawabnya dengan betul.

“Orang yang tidak amanah mudah melakukan penyelewengan, mendahulukan kepentingan dirinya dan keluarganya berbanding orang ramai yang menjadi tanggungjawabnya,” ujar Khatib lagi. Selain itu, sikap tolong-menolong dan bekerjasama juga merupakan sikap terpuji dan disukai Allah SWT dan Rasulullah SAW kerana ia dapat mengeratkan lagi silaturahim antara sesama pekerja yang lain, di samping memudah dan melancarkan lagi pekerjaan.

Tambah Khatib lagi, urus tadbir dinamik sudah pun dilaksanakan semenjak zaman Rasulullah SAW. Baginda berjaya membangunkan Madinah, membentuk masyarakat dinamik yang membawa kesejahteraan kepada masyarakat dan negara kerana keadilan ditegakkan, kebajikan dipenuhi, keamanan dinikmati dan kemajuan dikecapi.

Asas bagi urus tadbir dinamik ini adalah sumber manusia yang boleh bekerja dengan efisien, semangat dan iltizam yang tinggi, berinovasi, berfikiran positif dan pro-aktif dalam menangani masalah dan cabaran serta mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja.

Khatib turut menyeru agar warga perkhidmatan awam terus meningkatkan mutu perkhidmatan, menghayati tugas mereka dan mengurus tadbir dinamik ke arah kesejahteraan agar dapat membantu mencapai Wawasan 2035.

ARTIKEL YANG SAMA