‘Amalan pengurusan baik mampu beri hasil optimum’

‘Amalan pengurusan baik mampu beri hasil optimum’

YALA, (Selatan Thailand) 14 Feb – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah amalan pengurusan baik yang menekankan komunikasi berkesan, bijak teknologi dan kepimpinan inovatif berupaya memberikan hasil optimum tanpa pembaziran di luar jangkaan.

Menurut baginda amalan pengurusan baik berasaskan ketiga-tiga aspek tersebut dalam kehidupan seharian telah menjadi keperluan dalam perkembangan semasa.

“Komunikasi berkesan yang ditekankan oleh pakar-pakar pengurusan sering menjadi faktor penentu bagi menjamin kejayaan seseorang sama ada dia berada dalam kategori tertinggi atau bawah.

“Jadi, setiap mereka mesti berkemampuan menyampaikan pandangan atau pendapat kerana ia memberi kesan terhadap sesebuah organisasi untuk berkembang maju,” titah baginda selepas berkenan menerima anugerah Doktor Falsafah Pengurusan Sains oleh Universiti Yala Rajabhat (YRU) pada konvokesyen khas di YRU di sini, hari ini.

Baginda yang juga Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkenan menerima ijazah tersebut yang dipersembahkan oleh Pengerusi Dewan Senat YRU, Prof Madya Dr Shuangshod Phantuwaed.

Berangkat sama pada konvokesyen itu ialah Raja Puan Muda Perlis Hajah Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Khairi Hassan mewakili kerajaan negeri pada konvokesyen itu.

Penganugerahan itu turut disaksikan Presiden YRU, Asisten Profesor Dr Sombat Yothathip, pegawai-pegawai kanan YRU, Penasihat Khas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin serta Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Dr Mohamad Mizan Mohamad Aslam.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah komunikasi berkesan membantu pembinaan hubungan positif antara pihak-pihak terbabit khususnya majikan dengan pekerja.

Selain itu kegunaan teknologi lebih menonjol dalam dunia hari ini perlu dipastikan agar ia digunakan secara bijak dan produktif untuk mencapai matlamat yang disasarkan, titah baginda.

Menurut baginda lagi terdapat kajian merumuskan bahawa pengurusan yang lemah dan semangat berlebihan untuk menggunakan teknologi dalam pengurusan boleh menyebabkan pembaziran sumber dan mungkin memberi kesan buruk kepada manusia.

“Tinjauan juga mendapati pekerja hanya bawa 50 hingga 55 peratus kebolehan mereka ke tempat kerja selain kecenderungan mengaitkan prestasi kerja berkisar pada ketaatan, ketekunan dan komitmen sahaja,” tambah baginda. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA