Amalan PSI meningkat

Amalan PSI meningkat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 5 Ogos – Berdasarkan kajian mengenai kesan Peraturan Cuti Beranak 2011 terhadap amalan Penyusuan Susu Ibu (PSI) yang dilaksanakan secara eksklusif, ia telah menunjukkan peningkatan ke atas wanita-wanita di negara ini, bila mana pada tahun 2012, sejumlah 35 peratus ibu-ibu telah memberikan PSI kepada anak damit mereka dalam masa enam bulan pertama dan kadar ini meningkat kepada 41 peratus pada tahun berikutnya.

Sementara itu pada masa ini pula, kajian menunjukkan peningkatan kadar PSI di kalangan ibu-ibu yang bekerja iaitu daripada 33 peratus pada tahun 2012 kepada 37 peratus tahun 2013, dan dapatan itu amat memberangsangkan dan memberikan azam dan semangat yang padu kepada Kementerian Kesihatan dalam meneruskan usaha-usaha mempromosi, menyokong dan melindungi amalan PSI di negara ini selaras dengan sasaran kebangsaan untuk meningkatkan kadarnya kepada 50 peratus menjelang tahun 2020.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional dan Teknikal) Kementerian Kesihatan Dr Hajah Rahmah binti Haji Mohd Said, semasa berucap selaku tetamu kehormat di Majlis Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Peringkat Daerah Belait yang berlangsung di Dewan Kuliah Blok R Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, kelmarin.

Menurutnya lagi Kementerian Kesihatan akan terus berusaha memantapkan lagi pelbagai aktiviti terutama sekali sempena Minggu PSI Sedunia, selain tambahnya, kerjasama erat dan sokongan padu semua pihak termasuk ibu bapa, keluarga, masyarakat, tempat kerja serta pihak swasta adalah sangat-sangat diharapkan demi mempermudahkan ibu-ibu mengamalkan PSI.

Tetamu kehormat menyampaikan hamper dan sijil kepada ibu yang berjaya menyusukan anak damit secara eksklusif.
Tetamu kehormat menyampaikan hamper dan sijil kepada ibu yang berjaya menyusukan anak damit secara eksklusif.
Para penerima-penerima sijil penghargaan bergambar ramai bersama tetamu kehormat, Dr Hajah Rahmah.
Para penerima-penerima sijil penghargaan bergambar ramai bersama tetamu kehormat, Dr Hajah Rahmah.

Sementara itu Pengerusi Bersama Majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, Awang Mohamad bin Haji Abdul Hamid dalam ucapan alu-aluannya berkata, hospital tersebut dengan kerjasama pihak Kumpulan Sokongan Pendorong Pemberian Susu Ibu iaitu Kumpulan HAWA dijangka akan mengadakan forum khas pada 6 Ogos ini, bagi membincangkan mengenai dengan tema ‘Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2015’.

Majlis itu juga diteruskan dengan acara penyampaian sijil kepada para pegawai dan kakitangan serta ahli Kumpulan HAWA yang telah berjaya menamatkan Kursus ’20 hour lactation’ yang telah dianjurkan oleh HSSB sendiri, dan seramai kira-kira 100 orang telah menamatkan kursus mereka bagi membantu pihak hospital mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘Hospital Mesra Anak Damit’.

Bilik Umi, yang disediakan untuk aktiviti Kumpulan HAWA kepada ibu-ibu bagi program PSI di HSSB Kuala Belait.
Bilik Umi, yang disediakan untuk aktiviti Kumpulan HAWA kepada ibu-ibu bagi program PSI di HSSB Kuala Belait.

Di samping itu juga, penyampaian sijil penghargaan dan hadiah cenderahati kepada dua ibu yang telah dipilih oleh Kumpulan HAWA untuk menerima Sijil Ibu Berjaya bagi memberikan penyusuan anak damit secara eksklusif dan penyampaian sijil penghargaan kepada dua jururawat yang telah banyak menyumbangkan tenaga dan buah fikiran dalam membantu melaksanakan program PSI.

Penyampaian tersebut disempurnakan oleh tetamu kehormat, yang kemudiannya turut menyempurnakan perasmian Bilik ‘Parent Craft’ iaitu Bilik Umi yang akan menempatkan aktiviti program pembelajaran dan tunjuk ajar kepada ibu-ibu oleh Kumpulan HAWA.

ARTIKEL YANG SAMA