Amalan PSI terus dipergiatkan

Amalan PSI terus dipergiatkan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 8 Ogos – Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, hari ini, telah menyambut Minggu Penyusuan Susu Ibu (PSI) yang telah dikendalikan bersama oleh Kumpulan Pendorong Penyusuan Susu Ibu atau lebih dikenali dengan nama HAWA.

Majlis tersebut diadakan bersempena dengan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang jatuh pada setiap bulan Ogos, yang antara lain bertujuan untuk mewujudkan kesedaran pentingnya penyusuan susu ibu dan mendokong dasar Minggu PSI Kementerian Kesihatan untuk mengetengahkan kepentingan mempromosikan nilai amalan PSI sebagai satu amalan yang normal daripada aspek pemakanan anak damit dan kanak-kanak kecil.

Tema Minggu PSI tahun ini adalah ‘Penyusuan Susu Ibu Kunci Kepada Pembangunan Mampan’, yang memfokuskan bagaimana amalan PSI menjadi nilai utama bagi menjamin kesihatan dan kesejahteraan di awal kehidupan.

Ia juga menekankan akan pentingnya menghormati antara satu sama lain dan melindungi dunia yang kita kongsikan.

Majlis sambutan tersebut juga telah diteruskan dengan penyampaian ‘Kain Penutup’ (Nursing Cover) kepada ibu-ibu yang melahirkan anak.

Hajah Masni menyerahkan kain penutup (nursing cover) kepada salah seorang ibu yang kini berada di wad Hospital Suri Seri Begawan.
Hajah Masni menyerahkan kain penutup (nursing cover) kepada salah seorang ibu yang kini berada di wad Hospital Suri Seri Begawan.

Ketua HAWA yang juga selaku Yang Di-Pertua serta Pengerusi kumpulan sokongan tersebut, Hajah Masni binti Haji Munir, semasa ditemui berkata, susu ibu adalah penting ke atas anak damit, sehubungan itu beliau juga menyarankan supaya sokongan dalam pemberian susu itu terus dimantapkan kepada para ibu.

Menurutnya, penyusuan susu ibu juga masih penting walaupun selepas cuti bersalin selama tiga bulan, dan para majikan juga perlu memberikan kerjasama dalam sokongan tersebut seperti menyediakan bilik untuk penyusuan susu ibu dan sebagainya.

Beliau juga berkata, untuk terus memberikan sokongan tersebut, bangunan-bangunan komersial juga perlu mengambil inisiatif dengan menyediakan bilik untuk keperluan penyusuan susu ibu, selain menekankan ayah kepada anak damit juga memainkan peranan penting dalam terus memberikan sokongan kepada isteri mereka dalam penyusuan susu ibu ke atas anak damit mereka ke arah memapankan kasih sayang, kesihatan dan sebagainya.

Menurut beliau lagi, di Bilik Umi Hospital Suri Seri Begawan turut menyediakan sesi konsultan bagi penyusuan susu ibu kepada ibu-ibu setiap hari Isnin dan Rabu.

Sejak tertubuhnya kumpulan sokongan HAWA, beliau berkata, sambutan daripada orang ramai terutama para ibu amatlah menggalakkan dan mereka akan terus melaksanakan aktiviti bagi mempromosikan kesedaran tentang pentingnya penyusuan susu ibu kepada orang ramai.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Suri Seri Begawan Kuala Belait, Awang Mohmad bin Haji Abdul Hamid dan jemputan lainnya.