Amali CSR bersihkan pantai

Amali CSR bersihkan pantai

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 24 Nov – Sekumpulan pelajar jurusan Sijil Kebangsaan Pendidikan Teknikal (NTec) dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei Sekolah Vokasional Sultan Bolkiah (IBTE SVSB) telah menganjurkan Projek Bersih FBS yang diadakan di Pantai Peranginan Lumut hari ini.

Ini merupakan sebahagian daripada penilaian teknikal Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) iaitu salah satu topik yang mereka pelajari di bawah Modul Kajian Asas Perniagaan (FBS).

Semasa kempen tersebut, mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan, dan ditugaskan di kawasan-kawasan yang berbeza untuk mengutip sampah-sarap di sepanjang kawasan persisiran pantai tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa kempen itu ialah Pengetua IBTE SVSB Awang Akandi bin Haji Abd Razak. Juga hadir pengasas Green Brunei, Khairunnisa Asy’ari wakil penaja dari Syarikat Pengiran Haji Mustapa bin Pengiran Haji Mat Salleh.

Pelajar-pelajar IBTE SVSB Seria yang terlibat Projek FBS Bersih kelmarin.
Pelajar-pelajar IBTE SVSB Seria yang terlibat Projek FBS Bersih kelmarin.

Selain sebagai CSR, projek itu juga adalah bagi mendedahkan mereka kepada kesedaran tentang isu alam sekitar di negara ini, dan juga untuk memupuk sikap sentiasa mencintai kebersihan alam persekitaran.

Sebagai sebuah institusi pendidikan, Kampus IBTE SVSB bukan sahaja untuk mendidik pelajar mereka dengan pengetahuan akademik dan teori, tetapi juga untuk memupuk budaya kesukarelawan dan rasa tanggungjawab dalam diri mereka terhadap masyarakat dan alam sekitar.

Projek FBS Bersih, adalah salah satu inisiatif kampus tersebut yang dijalankan oleh Jabatan Perniagaan dan Komersial, bagi memberikan sesuatu kepada masyarakat dan mewujudkan kesedaran tentang pemeliharaan dan kebersihan pantai dan laut.

ARTIKEL YANG SAMA