Amalkan Amar Makruf Nahi Mungkar

Amalkan Amar Makruf Nahi Mungkar

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 April – Islam adalah agama yang sempurna yang bukan sahaja menyuruh umatnya beribadat malah menjaga kemaslahatan dan kesejahteraan hidup sesama manusia bagi membangun ukhuwah yang teguh, bersatu, bekerjasama dan saling membantu sesama mereka.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menegaskan, dalam usaha mencapai tujuan tersebut, Islam mengajar umatnya untuk saling nasihat-menasihati dan tegur-menegur.

Menurut Khatib, ini boleh dicapai melalui amalan Amar Makruf Nahi Mungkar iaitu menyuruh membuat perkara kebaikan dan menegah daripada perbuatan mungkar yang mana didikan, bimbingan, nasihat dan teguran itu perlu dijadikan budaya yang diamalkan oleh setiap Muslim.

Melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar tegas Khatib, adalah ciri-ciri orang yang beriman dan perkara tersebut juga adalah sangat penting untuk diamalkan kerana ia menyebabkan umat Islam dikenali sebagai umat terbaik.

Khatib turut menekankan, Allah mengingatkan untuk melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar namun sejauh manakah perintah tersebut dilaksanakan dalam kehidupan.

“Ketahuilah melaksanakan Amar Makruf Nahi Mungkar mempunyai banyak manfaat yang antaranya supaya umat Islam sentiasa berada di landasan yang benar dan mengikut ajaran yang telah ditetapkan oleh agama Islam.

“Di samping itu ia juga dapat menjamin keselamatan kehidupan manusia daripada bahaya perbuatan mungkar dan maksiat selain dapat menghindarkan diri dari mendapat azab Allah.”

Khatib seterusnya menjelaskan, apabila kemungkaran telah dilakukan secara terang-terangan dalam sesebuah masyarakat dan tidak ada orang yang berusaha untuk mencegahnya, kemungkaran tersebut akan semakin menjadi-jadi dan bermaharajalela.

“Kemungkaran ini, jika ia sudah biasa dilihat dan didengar, perkara tersebut mula dianggap remeh dan ringan atau biasa-biasa saja dan masyarakat tidak akan melihat kemungkaran itu sebagai dosa,” tegasnya.

Ini perlu disedari dan diubah kerana setiap kemungkaran akan mengundang kepada dosa dan setiap dosa itu akan mengundang kepada kemurkaan Allah.

Menurut Khatib lagi, tidak mustahil Allah akan menurunkan azab berbentuk bala bencana di mana bencana itu bukan hanya menimpa orang yang berbuat maksiat tapi kepada seluruh masyarakat yang tinggal di tempat itu walaupun mereka tidak berbuat maksiat itu.

“Allah melaknat orang yang mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjaga kemungkaran sedangkan mereka berkuasa atau mampu untuk melakukannya.”

Khatib seterusnya berkata, “Mencegah kemungkaran dengan hati hukumnya Fardu Ain bagi setiap kaum Muslim dalam seluruh keadaan kerana tidak ada seorang pun yang mampu menghalang hati orang lain untuk membenci kemungkaran.

“Jika seseorang melihat kemungkaran kemudian hatinya tidak juga terdetik untuk membenci kemungkaran tersebut dan lebih buruk lagi jika selesa dengan kemungkaran yang terjadi itu, tidaklah sempurna imannya.” ujar Khatib lagi.

ARTIKEL YANG SAMA