Amalkan cara hidup sihat

Amalkan cara hidup sihat

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 17 Mac – Sebagai menyuntik amalan cara hidup sihat melalui aktiviti bersukan dan riadah, Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohd Yusof, Lorong Tiga, Seria telah menganjurkan Sukan Ria Hari Keluarga Tahun 2016 di kawasan padang sekolah tersebut, hari ini.

Acara tersebut melibatkan hampir 300 orang dalam kalangan murid-murid dari Darjah Pra hingga Tahun 6, dan seramai 31 orang guru serta sembilan orang kakitangan sekolah, selain melibatkan penyertaan ibu bapa dan penjaga murid-murid yang bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara murid-murid, guru-guru dan ibu bapa serta penjaga.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Pelajaran/Pemangku Guru Besar Sekolah Rendah Labi, Awang Khairul bin Mashud yang dalam ucapannya menekankan bahawa sebuah keluarga memainkan peranan penting selain diri sendiri yang menjadi faktor pendorong kepada kemajuan dan produktiviti sekolah.

Menurutnya lagi, institusi keluarga sebagai baja kepada pokok-pokok yang rendang, dengan baja yang baik pokok akan menjadi subur dan sihat, maka banyaklah faedah yang boleh didapati, dari rantingnya akan datang burung membuat sarang, manusia dan haiwan akan datang berteduh, buah-buahnya pula akan dinikmati dan dedaunnya menghasilkan oksigen untuk manusia bernafas.

Acara dimulakan dengan senaman zumba beramai-ramai.
Acara dimulakan dengan senaman zumba beramai-ramai.

“Tetapi pokok yang tidak dibaja akan tetap hidup tetapi dalam keadaan yang daif, dedaunnya kurang, buahnya tidak seperti yang diharapkan, lebih malang lagi umur pokok tersebut mungkin tidak panjang, begitu juga dengan keluarga, bagi keluarga yang bahagia akan menjadi inisiatif kepada kita supaya kerja dengan lebih jujur dan amanah serta bersungguh-sungguh,” ujarnya lagi.

Majlis tersebut pagi tadi dimulakan dengan senaman zumba, dan diteruskan dengan pelbagai acara sukan ria termasuk membawa bola pingpong dengan sudu, skipping sambil berlari, mengisi air ke dalam botol dengan masa terpantas dan sebagainya.

Majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada penaja acara tersebut dari Syarikat Jasra Harrison Sendirian Berhad dan Nestle Product Sendirian Berhad.

ARTIKEL YANG SAMA