Amalkan gaya hidup jimat cermat

Amalkan gaya hidup jimat cermat

Oleh Rafidah Jumat

Gambar oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Jun – Semua pihak baik di sektor kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan berperanan untuk memastikan celik kewangan dan celik kewangan Islam benar-benar diterapkan dan menjadi amalan dalam kalangan masyarakat kita bagi melahirkan generasi berwawasan yang mempunyai daya tahan kewangan yang mantap.

Perkara itu ditegaskan oleh Pemangku Pengarah Urusan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), Hajah Lily binti Haji Kula ketika berucap dan merasmikan Bengkel Celik Kewangan dan Celik Kewangan Islam 2015 anjuran Majlis Wanita Negara Brunei Darussalam (MWNBD), yang berlangsung di Park View Hotel, Jerudong, hari ini.

Dalam ucapannya itu, beliau turut menekankan bahawa amalan gaya hidup yang terbeban dengan hutang memberikan kesan negatif kepada peminjam dalam jangka masa panjang.

“Mereka perlu beringat akan hutang yang perlu dilangsaikan mengikut kemampuan dan keupayaan dan kita perlu juga mengamalkan gaya hidup yang sederhana dan berjimat cermat bagi memastikan hidup kita lebih bersistem, berdisiplin,” tegasnya.

Beliau turut menyeru supaya seluruh warga negara ini untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dan keupayaan mengendalikan kewangan dan menekankan bahawa keluarga yang celik kewangan akan mampu menyokong antara satu sama lain dan memupuk sikap dan amalan itu dalam kalangan generasi muda.

Hajah Lily menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Celik Kewangan dan Celik Kewangan Islam 2015.
Hajah Lily menyampaikan ucapan perasmian Bengkel Celik Kewangan dan Celik Kewangan Islam 2015.
Antara mereka yang menghadiri Bengkel Celik Kewangan dan Celik Kewangan Islam.
Antara mereka yang menghadiri Bengkel Celik Kewangan dan Celik Kewangan Islam.

Bengkel yang dibahagikan kepada tiga bahagian, bagi dewasa/warga emas, remaja dan dewasa yang belum bekerja dan kanak-kanak ini menampilkan beberapa penceramah undangan antaranya dari Tabung Amanah Pekerja (TAP), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Majlis turut menyaksikan ucapan Pengerusi Majlis, Naib Yang Dipertua I MWNBD, Datin Hajah Masni binti Haji Mohd Ali dan Yang Dipertua MWNBD, Pengiran Datin Paduka Hajah Mariam binti Pengiran Haji Matarsat.

Sesi pagi turut menampilkan Pakar Ekonomi Kanan Institut Penyelidikan dan Latihan (IRTI), Bank Pembangunan Islam Jeddah, Dr Muhamed Zulkhibri yang menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Enhancing Islamic Financial literacy and financial includion: Issues and challenges’.

ARTIKEL YANG SAMA