Amalkan gaya hidup sihat

Amalkan gaya hidup sihat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Pusat Promosi Kesihatan terus melaksanakan usaha bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutama golongan belia mengenai pentingnya bagi mereka mengamalkan tingkah laku serta amalan gaya hidup sihat dalam kehidupan harian mereka.

Di samping itu, adalah amat penting untuk memberikan kesedaran dan pendedahan kepada golongan belia mengenai pelbagai isu-isu kesihatan yang dihadapi oleh masyarakat dan dengan pendedahan itu, ia mampu untuk merubah sikap mereka supaya mampu mengamalkan gaya hidup yang sihat.

Dalam hubungan itu, Program Kurikulum Kesedaran Kesihatan bagi Pelatih-pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) merupakan salah satu usaha untuk memperkasa belia ke arah cara hidup yang sihat.

Perkara itu antara yang ditekankan oleh Pegawai Perubatan, Pusat Promosi Kesihatan, Dr. Hajah Norol-Ehsan binti Haji Abdul Hamid kepada Media Permata semasa program berkenaan di Pusat Promosi Kesihatan, hari ini.

Program selama tiga hari itu, disertai seramai 73 orang pelatih yang terdiri daripada Platun 7 dan 8 PKBN ke-5 di mana mereka diberikan pendedahan dan penerangan mengenai isu-isu kesihatan yang dihadapi melalui sesi taklimat dan kerja berkumpulan.

Dr. Hajah Norol-Ehsan (dua dari kiri) semasa menyaksikan persembahan daripada kumpulan pelatih PKBN.
Dr. Hajah Norol-Ehsan (dua dari kiri) semasa menyaksikan persembahan daripada kumpulan pelatih PKBN.
Antara pelatih PKBN di perkumpulan tersebut.
Antara pelatih PKBN di perkumpulan tersebut.

Isu-isu yang diketengahkan kepada para pelatih oleh para pegawai dari Pusat Promosi Kesihatan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Kesihatan adalah pemakanan sihat, bahaya rokok, pengurusan stres dan harga diri yang positif, jangkitan hubungan seksual dan isu kehamilan remaja, keselamatan makanan serta kemahiran berkomunikasi.

Setelah mendengar taklimat pada hari pertama dan kedua program kesedaran itu, para pelatih dibahagikan kepada lima kumpulan yang mana setiap kumpulan harus membuat persembahan mengenai pelajaran yang mereka pelajari sepanjang program itu.

Mereka boleh membuat persembahan mereka dalam beberapa format termasuk melalui nyanyian, lakonan, lakonan tanpa suara, dikir barat, rancangan perbualan mengenai kesihatan serta persembahan video.

Pihak Pusat Promosi Kesihatan berharap melalui penyertaan para pelatih dalam program itu, mereka akan terus mengekalkan tingkah laku ke arah mengamalkan cara hidup sihat serta pada masa yang sama, dapat menerapkan amalan cara hidup sihat itu ke dalam kehidupan harian mereka.

Mereka juga diharap dapat mengongsi mesej-mesej kesihatan yang diterapkan sepanjang program tiga hari itu kepada belia-belia lain iaitu kemahiran menguasai pemilihan yang sihat, kemahiran dalam penyediaan makanan yang bersih dan selamat, kemahiran hidup menangani tekanan raka sebaya untuk merokok, kemahiran pengurusan stres dan harga diri yang positif, kemahiran hidup menangani perbuatan atau situasi yang mengakibatkan jangkitan hubungan seksual dan kehamilan di usia remaja serta kemahiran berkomunikasi mengenai kesihatan.

Penyertaan Platun 7 dan 8 PKBN ke-5 itu merupakan kumpulan kedua daripada seramai 298 orang pelatih PKBN dari Platun 1 hingga 8 yang menyertai program kurikulum kesedaran kesihatan berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA