Amalkan gaya hidup sihat

Amalkan gaya hidup sihat

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 24 Sept – Dalam usaha mempromosikan Program Gaya Hidup Sihat dan sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memberikan kesedaran mengenai penjagaan kesihatan, Mashhor General Contractor Sdn Bhd (MGCSB) telah mengadakan Program Pemeriksaan BMI (Body Mass Index) untuk kakitangannya yang diadakan di ibu pejabat syarikat tersebut, hari ini.

Dalam program itu, seramai 117 kakitangan membuat pemeriksaan yang dikendalikan oleh Pengurus Jabatan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE), Awang Mohd Rizal bin Dr. Haji Abdul Latif dengan kerjasama Kementerian Kesihatan yang diketuai oleh Doktor Aung Kyaw Myo.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Awang Mohd Rizal menjelaskan, objektif program berkenaan adalah untuk meningkat kesedaran dalam kalangan kakitangannya akan kepentingan penjagaan kesihatan di tempat kerja.

“Matlamat pemeriksaan hari ini adalah agar kakitangan kami sedar akan tahap kesihatan mereka dan melalui pemeriksaan sebegini, mereka diharap akan sedar dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya dalam menjaga kesihatan mereka,” ujarnya.

Katanya lagi, program gaya hidup sihat berkenaan merupakan sebahagian daripada peranan aktif yang diambil oleh MGCSB dalam memeduli kakitangan, yang mana tugas mereka boleh mencapai tahap tekanan yang tinggi.

Antara kakitangan MGCSB yang menjalani pemeriksaan BMI mereka.
Antara kakitangan MGCSB yang menjalani pemeriksaan BMI mereka.
Salah seorang kakitangan MGCSB ketika diperiksa BMI.
Salah seorang kakitangan MGCSB ketika diperiksa BMI.

“Selain daripada program pemeriksaan ini, pihak syarikat juga telah mengadakan beberapa sesi taklimat dan pemeriksaan yang lain seperti pemeriksaan air kencing sebagai sebahagian daripada usaha sama dengan Biro Kawalan Narkotik semasa kempen kesedaran antidadah, kempen derma darah, kempen antirokok dan menyediakan kegiatan aktiviti-aktiviti luar yang sihat,” jelasnya lagi.

Menurut beliau lagi, kesemua aktiviti, kempen dan program yang diadakan tersebut adalah bagi menyokong inisiatif dan objektif Kementerian Kesihatan dalam usaha negara mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

Antara pemeriksaan yang dilakukan, hari ini, termasuk memeriksa tahap tekanan darah.

Salah seorang kakitangan dari Kementerian Kesihatan, Jururawat Kanan Kesihatan Masyarakat Bahagian Kesihatan, Dayang Norhalia binti Haji Abdul Lamit turut menyarankan semua orang agar membuat pemeriksaan selanjutnya di hospital dan klinik-klinik berdekatan jika mempunyai tekanan darah yang tinggi dan menasihati agar mengurangkan pengambilan garam dalam makanan dan untuk membuat senaman ringan selama 30 minit setiap hari dan cuba untuk berhenti merokok.

ARTIKEL YANG SAMA