Amalkan penyusuan susu ibu

Amalkan penyusuan susu ibu

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 27 Okt – Sebagai salah satu usaha berterusan untuk mempromosikan program penyusuan susu ibu kepada lebih ramai orang, Kumpulan Sokongan HAWA mengadakan promosi bagi program tersebut di pusat-pusat komersil dengan Pusat Membeli-belah KBSentral, Kuala Belait di Jalan Maharaja Setia, Kampung Mumong A sebagai perhentian pertama mereka.

Dengan kerjasama daripada pihak pengurusan KBSentral, ahli-ahli Kumpulan Sokongan HAWA mempromosikan program penyusuan susu ibu kepada pengunjung-pengunjung ke pusat membeli-belah berkenaan selama tiga hari bermula hari ini dalam jerayawara Kempen Anti Rokok bersama dua agensi lain iaitu Pusat Promosi Kesihatan dan juga Unit Penguatkuasaan Kesihatan.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Ketua HAWA, Hajah Masni binti Haji Munir menjelaskan bahawa langkah ini pertama kali diadakan bagi mendekatkan lagi diri mereka kepada pengunjung di sini yang kebanyakannya kaum keluarga termasuk ibu-ibu yang sudah berkahwin dan mempunyai anak kecil ataupun yang sedang mengandung.

“HAWA selalunya beroperasi di kampung-kampung dan mukim seperti di Mukim Labi dan Kampung Sungai Teraban dan kehadiran kami di sini diharap akan dapat mendedahkan lagi kesedaran mengenai kepentingan program penyusuan susu ibu ini kepada mereka,” katanya.

Beliau turut memberitahu bahawa Kumpulan Sokongan HAWA bekerja rapat dengan Hospital Suri Seri Begawan dan ahli-ahli mereka kebanyakannya terdiri daripada bekas jururawat hospital, bidan dan mereka yang mempunyai latar belakang kejururawatan.

Hajah Masni menjelaskan mengenai program penyusuan susu ibu kepada salah seorang pengunjung di KBSentral.
Hajah Masni menjelaskan mengenai program penyusuan susu ibu kepada salah seorang pengunjung di KBSentral.
Hajah Masni menyerahkan poster maklumat penyusuan susu ibu kepada Pengurus Pemasaran KBSentral.
Hajah Masni menyerahkan poster maklumat penyusuan susu ibu kepada Pengurus Pemasaran KBSentral.

“Untuk menimba ilmu pengetahuan secara lebih mendalam agar dapat memberikan khidmat nasihat kepada penduduk tempatan di sini, kami juga membuat lawatan ke hospital-hospital tertentu seperti Hospital Miri, Sarawak dan juga Hospital Sungai Buloh di Kuala Lumpur, Malaysia.

“Dari sana kami banyak mempelajari mengenai inisiatif dan cara-cara penyusuan ibu yang betul dan kami menggunakan apa yang dipelajari dari sana dan membuat lawatan ke rumah-rumah di sini untuk membantu para ibu memahami akan manfaatnya dan bagaimana menyusukan anak-anak mereka dari susu dada mereka sendiri,” ujar beliau lagi.

Dalam acara petang tadi, Hajah Masni menyerahkan poster yang mengandungi maklumat mengenai penyusuan susu ibu kepada Pengurus Pemasaran KBSentral, Awang Sim Poh Fatt, untuk dilekatkan di dalam bilik khas penyusuan ibu untuk anak damit yang disediakan di tingkat satu bangunan tersebut.

Hajah Masni juga menyatakan penghargaan dan memuji pihak pengurusan KBSentral atas langkah yang baik ini untuk menyediakan bilik khas tersebut bagi kemudahan para ibu untuk menyusukan serta menukar lampin anak kecil mereka.

ARTIKEL YANG SAMA