Amalkan ‘salam’ dalam kehidupan

Amalkan ‘salam’ dalam kehidupan

Oleh Siti Nur Wasimah S & Salawati Haji Yahya

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Era globalisasi pada masa kini telah merubah gaya hidup masyarakat yang berorientasikan teknologi dan kemajuan maklumat iaitu dengan adanya aplikasi atau penggunaan meluas laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Blog, Twitter, WhatApp dan Google Plus.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menjelaskan dengan adanya alat-alat ini siapa saja boleh berhubungan di antara satu dengan yang lain.

Namun, Yang Berhormat Pehin menekankan, apa yang penting dalam kehidupan ini bukanlah semata-mata maju dan canggih tetapi yang diperlukan khasnya bagi orang-orang Islam ialah berkat dan selamat.

Yang Berhormat Pehin berkata sedemikian semasa menyampaikan ceramah khas Majlis Ilmu 2016 sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 tahun di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, pagi tadi.

Yang Berhormat Pehin menegaskan lagi, agama Islam dari awal lagi telah mengajar umatnya untuk mengamalkan ‘salam’ iaitu satu sistem komunikasi yang tidak ada tolak bandingnya dan jika dihayati benar-benar akan membawa infak berkat dan selamat.

Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari negara, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki pada Majlis Ilmu 2016.
Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran oleh qari negara, Awangku Muhammad Adibul Amin bin Pengiran Haji Marjuki pada Majlis Ilmu 2016.

Orang Islam, jelasnya, bukan berhubung dan berkomunikasi kosong tetapi berhubung untuk selamat dan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah SWT.

Sehubungan dengan itu, orang-orang arif bijaksana sangat mengambil berat tentang salam kerana sesiapa yang mendahului saudaranya mengucapkan salam, nescaya Allah SWT akan membina untuknya sebuah istana di dalam syurga dan salam bukan sahaja diucapkan oleh umat Islam, malah diungkapkan oleh Allah SWT kepada para penghuni syurga di akhirat kelak.

Yang Berhormat Pehin juga telah menyentuh mengenai perhubungan biasa yang berlaku melalui peralatan-peralatan biasa seperti binatang-binatang tunggangan, kereta dan kenderaan-kenderaan lain, yang apa pun peringkat zaman, alat-alat ini akan terus diperlukan sebagai penghubung untuk menjejaki destinasi-destinasi yang dimaksudkan.

Menurut beliau, kita perlu membaca doa atau Basmallah sebelum keluar rumah dan menaiki kenderaan agar dilimpahi dengan rahmat keselamatan dan keberkatan dalam perjalanan oleh Allah SWT.

Kemudian, menyentuh mengenai mencari selamat dan berkat daripada wadah atau platform perhubungan dunia siber, Yang Berhormat Pehin menegaskan, melaluinya hubungan mampu dijalin melalui laman-laman sesawang dan semuanya menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan menarik malah menyeronokkan.

Walaupun dunia siber ini mempunyai kelebihannya namun laman sosial turut menyediakan ruang yang amat luas untuk keburukan-keburukan berkembang kerana penggunaannya tanpa kawalan.

Ruang siber, tegasnya, mampu melakar wajah-wajah jenayah di seluruh dunia antaranya di United Kingdom tahun lalu, jenayah yang melibatkan komputer melebihi jenayah fizikal.

Dalam ekonomi, ada kajian menganggarkan bahawa menjelang tahun 2019, jenayah siber akan mengakibatkan kerugian lebih daripada AS$2.1 trilion dan tahun lepas berlaku satu serangan canggih ke atas lebih 100 buah bank dari 11 buah negara menyebabkan kerugian dianggarkan berjumlah AS$1 satu bilion.

Yang Berhormat Pehin menambah bahawa jenayah siber bukan terbatas kepada musibah yang menyebabkan kerugian kewangan sahaja, malahan meliputi pengedaran dadah, pornografi kanak-kanak, pelacuran, seks bebas, penculikan dan pemerdagangan manusia.

Tidak diragukan lagi, di samping mendapat manfaat daripada penggunaan teknologi ini, manusia sekarang juga sedang berhadapan dengan pelbagai musibah kerananya.

“Kalau di masa lalu, kita hanya mendengar orang menyebut mengenai ketagih dadah, ketagih rokok dan arak tetapi sekarang, pakar-pakar ilmu jiwa dan kemasyarakatan telah menambah satu lagi jenis ketagih iaitu ketagih internet,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA