Amalkan sifat sederhana

Amalkan sifat sederhana

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 19 Julai – Biarpun bulan Syawal sudah memasuki minggu ketiga, ziarah-menziarahi sanak saudara sesama Islam sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini masih diteruskan lagi demi mengeratkan lagi tali silaturahim, bagaimanapun orang ramai digalakkan untuk mengamalkan sifat sederhana dan berjimat cermat.

Perkara tersebut telah disentuh pada Majlis Program Keagamaan Senegara bagi bulan Julai yang diadakan di Sekolah Arab Belait, hari ini, melalui tazkirah yang disampaikan oleh Dayang Fairuz Audadi binti Haji Abu Bakar.

Beliau turut mengingatkan pelajar-pelajar di sekolah tersebut untuk sentiasa mengamalkan ziarah-menziarahi dalam kehidupan bukan hanya pada bulan Ramadan dan Syawal tetapi juga di bulan-bulan yang lain.

Menurutnya, kesempatan utama dalam menjalani hari raya ialah menghubungkan silaturahim antara sesama keluarga dan sanak saudara seagama termasuk jiran tetangga, sahabat handai dan kenalan kita iaitu dengan ziarah menziarahi antara satu sama lain memang digalakkan dalam Islam dan hendaklah diniatkan kerana Allah iaitu bagi mengukuhkan Ukhuwah Islamiah.

“Di samping ziarah-menziarahi itu, perlulah menjaga etika memuliakannya antaranya menyambut kedatangan tetamu dengan perasaan gembira serta wajah yang manis, menyajikan hidangan yang termampu, bukan dengan membazir dan berbangga, apabila tetamu hendak pulang, eloklah mereka dihantar hingga ke pintu rumah serta mengiringinya dengan doa,” kata Dayang Fairuz.

Majlis Program Keagamaan Senegara di Sekolah Arab Belait turut dimuatkan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Majlis Program Keagamaan Senegara di Sekolah Arab Belait turut dimuatkan dengan bacaan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.
Antara pelajar Sekolah Arab Belait lelaki dan perempuan yang menghadiri Program Keagamaan Senegara Bulan Julai itu.
Antara pelajar Sekolah Arab Belait lelaki dan perempuan yang menghadiri Program Keagamaan Senegara Bulan Julai itu.

Beliau dalam tazkirahnya juga menjelaskan bahawa semasa ziarah-menziarahi hendaklah mengetuk pintu dan memberi salam terlebih dahulu dan bersalaman dengan orang yang dibolehkan oleh syarak sahaja, kerana adalah haram bersalaman dengan yang bukan muhrim.

Perlu juga menghormati waktu ziarah iaitu biarlah masa yang sesuai dan tidak duduk terlalu lama, pandangan juga hendaklah dikawal dan dijaga serta menggembirakan tuan rumah dengan kata-kata yang manis dan baik, serta jarak masa ziarah pula hendaklah jarang-jarang sekali supaya menimbulkan kemeriahan yang mendalam pada kedua-dua pihak.

“Dan perlu juga diingatkan, di samping keseronokan berziarah, kita jangan pula sampai lalai untuk menyempurnakan sembahyang fardu lima waktu di mana sahaja kita berkunjung, dan perlu mengawal pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, menghindari mengumpat dan sebagainya,” ujarnya lagi.

Program Keagamaan yang dikendalikan oleh Jabatan Pengajian Islam itu antara lain bertujuan untuk merealisasikan rancangan strategik jabatan untuk meningkatkan peratus pelajar yang mengikuti aktiviti kokurikulum di sekolah Arab dan agama.

Antara pengisian program tersebut termasuk penyampaian tazkirah, bacaan Surah Yasin beramai-ramai sempena Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 dan diakhiri membaca Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

Guru Besar Sekolah Arab Belait, Dayang Noramalina binti Haji Mohd Ali, memberitahu bahawa program tersebut dihasratkan akan dapat memberi pendedahan kepada pelajar dan murid kepada pengalaman hidup yang sebenar dalam keluarga dan masyarakat serta memberi keyakinan terhadap beragama bagi menyokong pengisian hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk menjalankan negara ini sebagai sebuah Negara Zikir.

Di samping itu, katanya lagi, matlamat yang ingin dicapai oleh Islam dalam pendidikan adalah melahirkan al-insan as-Saleh, pendidikan yang seimbang dan sempurna sentiasa memberi penekanan kepada kedua-dua aspek, iaitu kurikulum dan gerak kerja kokurikulum, ini bermakna seorang pelajar itu diberi pendidikan yang menyeluruh merangkumi aspek mental, fizikal dan rohani.

ARTIKEL YANG SAMA