Amalkan sifat tawaduk

Amalkan sifat tawaduk

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Julai –Manusia adalah makhluk Allah yang istimewa dan sebaik-baik ciptaan berbanding dengan makhluk-makhluk lain di muka bumi ini.

“Manusia dijadikan mempunyai fizikal yang cantik dan diberikan akal fikiran, selain itu manusia jua dianugerahkan dengan akhlak, akhlak mulia merupakan salah satu ciri penting bagi seseorang manusia.”

Perkara ini dijelaskan oleh Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini dan seterusnya menambah, Nabi Muhammad S.A.W itu adalah orang yang mempunyai sebaik-baik akhlak untuk dicontohi dan diteladani.

Orang yang paling baik itu ialah orang yang memiliki akhlak yang mulia dan kita hendaklah mengasihi diri dengan akhlak mulia dan membuang akhlak keji kerana perkara tersebut adalah perintah dan seruan Allah dan RasulNya.

Khatib seterusnya menjelaskan, antara akhlak mulia yang patut dimiliki oleh setiap umat Islam ialah bersifat tawaduk.

Sifat tawaduk itu ialah sifat terpuji yang menjadikan seseorang itu merendah diri tanpa melampaui batas hingga menghinakan diri sendiri.

Jika sikap seseorang itu berlebih-lebihan meninggi diri pula, maka itu adalah sifat takabbur dan jika keterlaluan merendah diri maka itu adalah kehinaan.

“Sebagai contoh dalam berpakaian, jika seseorang itu berpakaian yang bagus dengan tujuan untuk menarik perhatian orang ramai atau untuk kemasyhuran, maka itu tandanya dia bersifat riak dan bangga diri (takabbur) dengan pakaian,” tegas Khatib lagi.

Agama Islam tidak juga menyuruh umatnya untuk terlalu merendah diri sehingga berpakaian koyak rabak atau compang-camping sedangkan dia mampu untuk memakai pakaian yang lebih elok.

Sikap yang baik ialah bersederhana iaitu pakaian yang tidak terlalu menjolok mata kerana terlalu indah dan tidak jua terlalu buruk dan lusuh.

Hakikatnya tawaduk adalah sifat yang sangat mulia dan orang yang bersifat tawaduk akan merasakan dirinya mempunyai kelemahan dan kekurangan.

Adapun kekuatan, kekayaan, kepandaian dan apa juga kelebihan yang dimilikinya, semuanya adalah pemberian dari Allah.

Khatib seterusnya menjelaskan, Allah mencintai orang-orang yang bersifat tawaduk bahkan sifat tawaduk juga dapat meninggikan darjatnya di sisi Allah dan sisi manusia.

Sifat tawaduk adalah sifat yang dapat menghindarkan diri dari bersifat sombong, sedangkan sifat sombong itu adalah sifat yang keji dan dibenci oleh Allah.

Sehubungan itu, untuk menghindarkan sifat sombong dan menimbulkan sifat tawaduk, kita hendaklah mengamalkan ajaran Al-Quran dan hadis di samping memperbanyakkan zikir dan doa supaya hati dan jiwa terdorong untuk berakhlak mulia dan berbuat kebaikan seterusnya mencontohi sifat Rasulullah S.A.W.

ARTIKEL YANG SAMA