Amalkan sikap pandu cermat

Amalkan sikap pandu cermat

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Dis – Para pengguna jalan raya diseru untuk sentiasa mengamalkan sikap memandu yang selamat dan berhati-hati serta memastikan bahawa kenderaan yang dipandu selamat untuk digunakan.

Dalam musim percutian ini, para pengguna jalan raya diharap akan meningkatkan kewaspadaan mereka supaya dapat mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

“Hadiah yang terbaik untuk keluarga anda, adalah awda selamat tiba di rumah,” pesan Pemangku Ketua Bahagian Pendakwa Raya dan Undang-undang, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Mohd Yussof dalam wawancara bersama Media Permata semasa Operasi Bersepadu JPD bersama Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas (JSKLL), Pasukan Polis Diraja Brunei yang berlangsung di Muara, hari ini.

Beliau mendedahkan bahawa sehingga hari ini, sebanyak 32 kematian disebabkan oleh kemalangan lalu lintas atau jalan raya telah dicatatkan dengan kejadian kemalangan yang menyebabkan kematian terkini dicatatkan semalam dalam kejadian yang berlaku di kawasan Kampung Padnunok, Tutong.

Anggota polis JSKLL sedang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan semasa operasi bersepadu terse-but.
Anggota polis JSKLL sedang membuat pemeriksaan ke atas kenderaan semasa operasi bersepadu terse-but.
Anggota JPD memeriksa dan memastikan kenderaan yang digunakan oleh pemandu adalah dalam keadaan baik.
Anggota JPD memeriksa dan memastikan kenderaan yang digunakan oleh pemandu adalah dalam keadaan baik.

Oleh itu, beliau berharap orang ramai khususnya para pemandu untuk memberikan keutamaan kepada keselamatan dan pihak JPD bersama-sama pihak polis akan terus melaksanakan inisiatif untuk memberikan pengingatan kepada para pemandu untuk sentiasa mengamalkan sikap pemanduan yang selamat, cermat dan berhati-hati.

Mengulas mengenai operasi bersepadu yang dijalankan, beliau berkata operasi bersepadu di antara JPD dengan JSKLL itu, akan dilaksanakan secara berterusan sehingga hujung tahun yang mana operasi itu menekankan kepada mengutamakan keselamatan bagi semua pengguna jalan raya.

Operasi yang dijalankan bermula pukul 8 pagi itu, disertai oleh seramai 12 orang anggota polis dari JSKLL manakala JPD pula dianggotai oleh seramai tujuh orang anggota.

Menurut Pengiran Khairul Yusra lagi, semasa operasi itu, para anggota yang bertugas bukan sahaja memberi tumpuan kepada kesalahan para pemandu tetapi juga memberikan nasihat dan maklumat yang berguna kepada mereka untuk mengamalkan sikap pemanduan yang selamat seperti menggunakan tali pinggang keselamatan semasa memandu, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan memandu dengan mengikut had-had laju yang telah ditetapkan.

Dalam operasi itu, anggota dari JPD telah mengadakan pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan yang mana para anggota memastikan bahawa ia dalam keadaan selamat untuk dipandu iaitu memastikan bahawa tayar berbunga, lampu kenderaan dalam keadaan baik, brek berfungsi dan cermin kenderaan dalam keadaan baik.

Dalam pemeriksaan itu juga, para anggota yang bertugas turut memastikan bahawa kenderaan yang digunakan tidak diubahsuai seperti kenderaan direndahkan, memasangkan ekzos yang membuat bunyi bising serta kenderaan memasang penggelap cermin (tinted) termasuk kenderaan dari negara jiran di mana bagi kesalahan itu, para pemilik kenderaan dimestikan untuk membukanya dengan serta-merta.

Dalam operasi itu, seramai 12 orang anggota JSKLL yang diketuai oleh Sarjan Mejar 3049 Haji Abu Bakar bin Haji Abdul Rahman turut serta mengadakan sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas kenderaan-kenderaan yang menumpukan kepada memastikan para pengguna jalan raya tidak melakukan kesalahan lalu lintas dan pencegahan kegiatan jenayah dengan memastikan tidak ada sebarang perkara yang mencurigakan berlaku.

Semasa operasi bersepadu itu, pihak-pihak penguatkuasaan mendapati beberapa kesalahan yang dilakukan oleh pemandu-pemandu termasuk memandu dengan cukai jalan yang mansuh dan tidak menggunakan penutup ketika membawa barang-barang muatan.

ARTIKEL YANG SAMA