Amar Asyraf kekok kembali ke pentas teater

Amar Asyraf kekok kembali ke pentas teater

KUALA LUMPUR – Enam tahun menyepikan diri dari dunia teater, pelakon Amar Asyraf mengakui agak kekok kembali ke pentas selepas lebih selesa bekerja di belakang tabir sebagai pengarah.

Namun pemilik nama penuhnya Amar Asyraf Zailudin memaklumkan kisah bangsawan yang berkisar asal usul kesultanan negeri Selangor membuka hatinya untuk berlakon dalam teater Bangsawan Putera La Galigo.

“Kekok juga rasanya kembali ke pentas teater kerana sudah lama tidak berbuat demikian. Berlakon di hadapan kamera dan teater adalah dua perkara yang berbeza, tetapi saya pasti memberikan hasil terbaik. Malah, watak saya dalam Putera La Galigo ini turut memerlukan saya bersilat. Jika dalam filem kita boleh digantikan dengan ‘pelagak ngeri atau pelakon pengganti’, senario amat berbeza dalam pementasan langsung,” katanya.

Selain Amar, pementasan Bangsawan Putera La Galigo turut dibintangi Tasha Shila, Ainul Aishah, Datuk Ahmad Tarmimi, Ean Raja serta Akmal Ahmad dan bakal dipentaskan pada 16 hingga 18 November ini, di Stadium Malawati, Shah Alam.

Amar Asyraf bakal membintangi teater Bangsawan Putera La Galigo.
Amar Asyraf bakal membintangi teater Bangsawan Putera La Galigo.

Pada masa sama Amar turut mempromosikan drama bersiri berjudul Umairah yang kini disiarkan menerusi slot Samarinda saluran TV3.

Katanya, beliau teruja menanti reaksi penonton kerana ia mengangkat plot berbeza daripada kisah lain yang mewarnai kaca televisyen masa kini iaitu bertunjangkan elemen dendam.

“Umairah banyak bermain dengan idea kemaafan dan dendam. Barisan pelakon sendiri menerima elemen kejutan dengan disajikan pengakhiran yang penuh dramatik serta mainan emosi hingga saat akhir. Andai saya boleh menjadi geram hanya dengan membaca skrip, apatah lagi penonton di rumah. Ia berbeza kerana bukan berkisar melankolik percintaan semata-mata malah keunikan itu membezakan Umairah dengan drama bersiri lain,” kata Amar lagi.

ARTIKEL YANG SAMA