Amaran air kemerah-merahan

Amaran air kemerah-merahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Sept – Kawasan perairan Negara Brunei Darussalam masih bebas dan tidak terjejas dengan fenomena air kemerah-merahan selepas pemantauan dan analisis makmal dijalankan.

Jabatan Perikanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, pemantauan dan analisis dijalankan selepas mendapat maklumat dari Jabatan Perikanan Negeri Sabah, Malaysia bahawa air kemerah-merahan telah dikesan di kawasan pesisiran pantai barat Sabah.

Sehubungan itu, para pengimport ikan dan hasil perikanan diingatkan dan digesa untuk tidak mengimport atau mendatangkan atau membawa ikan dan hasil perikanan terutamanya ikan-ikan kecil dan kerang-kerangan dari kawasan yang terjejas.

Jabatan Perikanan turut menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke Sabah agar tidak memakan mana-mana jenis kerang-kerangan dan ikan-ikan kecil yang tidak dapat dibuang insang, perut dan organ-organ dalaman.

Orang ramai juga diseru supaya sentiasa berjaga-jaga dan membuang insang, perut dan segala organ dalaman ikan sebelum dimasak dan menghindari daripada memakan ikan-ikan dan kerang-kerangan yang tidak diketahui asalnya.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Perikanan akan sentiasa memantau kejadian air kemerah-merahan di sini dan akan memaklumkan kepada orang ramai keadaan terkini dari semasa ke semasa.

Jabatan itu juga meminta para nelayan membantu mengesan fenomena air kemerah-merahan di perairan negara ini dan jika mendapati sebarang perubahan kepada warna air dan kejadian ikan mati dalam jumlah yang banyak di mana-mana kawasan perairan dan pantai-pantai di negara ini, mereka bolehlah menghubungi talian 2770066 pada waktu bekerja dan talian hotline 7297771.

ARTIKEL YANG SAMA