Amaran ‘ancaman besar’ perang baru

Amaran ‘ancaman besar’ perang baru

KIEV, 5 Jun (AFP) – Presiden Ukraine Petro Poroshenko semalam memberi amaran mengenai “ancaman besar” peperangan baru dengan para pemberontak pro-Rusia selepas peningkatan keganasan yang menyebabkan sekurang-kurangnya 26 orang maut.

Pertempuran baru meletus berhampiran kubu kuart pemberontak Donetsk Rabu lepas, dalam salah satu keganasan terburuk sejak gencatan senjata yang diusahakan Eropah dipersetujui pada Februari.

Peningkatan pertempuran mengembalikan kebimbangan di Kiev bahawa kumpulan pemisah mungkin berhasrat meneruskan lagi kemaraan ke wilayah yang dikawal kerajaan.

Dalam ucapan tahunannya kepada Parlimen, Presiden Ukraine Petro Poroshenko memberi amaran “bahaya yang kekal” tindakan perang Rusia ke atas Ukraine.

“Masih kekal wujudnya ancaman besar berulang semula perang berskala besar yang dicetuskan pihak pengganas Rusia,” kata Poroshenko, merujuk kepada kumpulan pemberontak.

Presiden Ukraine Petro Poroshenko ketika sidang media di Kiev pada 5 Jun 2015. – AFP
Presiden Ukraine Petro Poroshenko ketika sidang media di Kiev pada 5 Jun 2015. – AFP

Presiden Ukraine mendakwa lebih 9,000 tentera Rusia kini berada di timur Ukraine untuk menyokong pemberontakan dan Moscow pula terus membekalkan tentera pemisah dengan senjata baru.

Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah (EU) dan Jerman melahirkan kewaspadaan berhubung keganasan terbaru, dengan jurucakap Suruhanjaya Eropah Maja Kocijancic menyifatkan pertempuran tersebut “pelanggaran paling serius” selepas gencatan senjata pada Februari.

“Gencatan senjata masih lagi rapuh, pelanggarannya boleh menjurus kepada peperangan baru yang lebih besar,” kata Menteri Luar Jerman, Frank-Walter Steinmeier.