Amaran angin kencang dan laut bergelora

Amaran angin kencang dan laut bergelora

KUALA LUMPUR, 21 Okt – Angin kencang dan laut bergelora di kawasan perairan Sabah (Sandakan, Kudat, Pantai Barat dan Pedalaman) dan Labuan diramal berterusan sehingga esok.

Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan angin kencang barat daya dengan kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.

Situasi yang sama juga dijangka berlaku di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Palawan dan Sulu.

Ketampakan rendah kurang dari tiga kilometer di sekitar perairan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kuching, Tawau, Selat Melaka, Tioman, Bunguran dan Sulawesi oleh jerebu juga diramal berterusan sehingga esok.

Keadaan itu berbahaya kepada kapal yang tidak mempunyai navigasi pelayaran, menurut jabatan tersebut.

Sementara itu amaran ribut petir di kawasan perairan Condore, Reef North, Layang-layang, Labuan dan Sulu diramal berterusan sehingga awal petang ini. Keadaan itu menyebabkan angin kencang sehingga 50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian 3.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil. – Bernama