Amaran keras buat peminat Keita

LONDON, 30 Julai – Pengurus RB Leipzig, Ralph Hasenhuttl (gambar) telah memberi amaran kepada kelab-kelab yang berminat mendapatkan Naby Keita bahawa pemain tengah Guinea itu tidak akan dijual musim ini.

Keita telah menjadi subjek dua bidaan yang ditolak dari Liverpool dan Leipzig telah mengesahkan bahawa mereka sudah menolak tawaran bernilai 67 juta pound dari sebuah kelab yang tidak dinamakan.

Pemain berusia 22 tahun itu telah menjadi laris sejak menjaringkan lapan gol dalam 31 kemunculan musim lepas, membantu Leipzig melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

Minggu ini Liverpool secara terbuka mengumumkan bahawa mereka sudah menamatkan minat mereka bagi mendapatkan Keita, Hasenhuttl dengan segera menjelaskan bahawa kelab Bundesliga itu berazam untuk mengekalkan aset mereka.

Ditanya mengenai penarikan diri Liverpool dari perlumbaan memburu Keita, Hasenhuttl, bercakap selepas pasukannya tewas 1-0 kepada Sevilla dalam Piala Emirates, berkata: “itu bagus. Peluang untuk Naby pergi adalah kosong. Ia adalah 100 peratus bahawa Naby akan bermain di Leipzig tahun ini.

“Di awal jendela perpindahan, kami berkata bahawa kami akan memulakan musim dengan semua pemain terbaik kami.

“Liverpool akan menamatkan aktiviti perpindahan mereka dan itu bagus untuk saya.”

Hasenhuttl percaya Keita akan mendapat manfaat dalam satu lagi musim bersama Leipzig, dengan pengalaman pertama Liga Juara-Juara bagus untuk perkembangannya.

“Ia penting bagi semua pemain kekal kerana kami akan bermain Liga Juara-Juara buat pertama kali,” katanya. – AFP