Amaran laut bergelora di pantai timur dan Sarawak

Amaran laut bergelora di pantai timur dan Sarawak

KUALA TERENGGANU, 15 Dis (Bernama) – Angin kencang, laut bergelora serta kenaikan paras air laut dijangka berlaku di kawasan perairan pantai timur serta Sarawak bermula esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kilometer sejam (kmsj) dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur dan Sarawak sehingga Ahad.

Keadaan ini adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi laut dan sukan laut, menurut jabatan itu. Selain itu ia turut memaklumkan kawasan pantai Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut, dijangka bermula Khamis hingga Sabtu ini.