Amaran penipuan libatkan Power Root

Amaran penipuan libatkan Power Root

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Ogos – Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati apabila menerima Pesanan Ringkas (SMS) atau panggilan telefon dari luar negara mengenai penipuan melibatkan penyalahgunaan nama Syarikat Power Root dan diingatkan untuk menjalankan urusan kewangan atau pelaburan dengan individu-individu atau institusi-institusi yang dilesenkan oleh Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) sahaja.

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menegaskan jika pengguna kewangan di negara ini melibatkan diri dalam skim-skim pelaburan yang tidak dilesenkan AMBD, maka mereka tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir AMBD, terutama jika skim pelaburan tersebut beroperasi dari luar negara.

Orang ramai dan pengguna kewangan juga diingatkan mengenai pentingnya mengesahkan kesahihan skim-skim pelaburan yang ditawarkan dan meneliti risiko yang berkemungkinan timbul daripada melabur dalam skim tersebut terlebih dahulu, mengelak daripada memfokuskan kepada pulangan yang ditawarkan sahaja, terutamanya jika pulangan tersebut adalah jauh bezanya daripada pulangan yang biasa ditawarkan oleh individu-individu atau institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD dan jika satu tawaran itu seperti mustahil menjadi kenyataan, besar kemungkinan ianya adalah satu penipuan.

Menurut kenyataan itu lagi, senarai nama individu-individu dan institusi-institusi yang dilesenkan oleh AMBD boleh didapati melalui AMBD App, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android; atau dengan melayari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn