Amaran peringkat tertinggi dikeluarkan

Amaran peringkat tertinggi dikeluarkan

NEW DELHI, 26 Mei (Bernama) – Amaran peringkat tertinggi dikeluarkan di dua negeri, Andhra Pradesh dan Telangana, dengan angka kematian meningkat kepada lebih 750 orang akibat gelombang haba.

Para pegawai berkata sejumlah 551 orang meninggal dunia di Andra Pradesh, manakala bakinya di Telangana dengan 125 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas.

Kebanyakan daerah di kedua-dua negeri itu terus mencatatkan suhu melebihi 46 darjah selsius dan menurut Jabatan Meteorologi India, keadaan cuaca semasa akan berterusan dalam beberapa hari lagi. Pihak berkuasa di kedua-dua negeri menggesa orang ramai terutamanya buruh supaya tidak bekerja di kawasan terbuka antara jam 11 pagi hingga 4 petang.

“Sebahagian besar mangsa adalah mereka yang terdedah kepada cahaya matahari, biasanya berumur 50 tahun dan ke atas serta merupakan kalangan pekerja,” kata P Tulsi Rani, pesuruhjaya khas jabatan pengurusan bencana Andhra Pradesh, yang dipetik saluran berita NDTV.

“Kami meminta mereka supaya mengambil langkah berjaga-jaga seperti menggunakan payung, memakai topi, minum cecair dalam jumlah yang banyak misalnya air dan susu masam, serta memakai pakaian daripada kain kapas,” katanya. Y K Reddy daripada IMD memberitahu saluran berita itu bahawa sebahagian besar Telangana mengalami suhu panas paling buruk dalam beberapa dekad sejak beberapa hari lepas.

Para penjaja terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri daripada cuaca panas di Hyderabad pada 26 Mei 2015. – AFP
Para penjaja terpaksa menggunakan payung untuk melindungi diri daripada cuaca panas di Hyderabad pada 26 Mei 2015. – AFP

“Suhu tinggi bukanlah luar biasa tetapi ia berlarutan sekurang-kurangnya tiga hingga empat hari. Ini amat membahayakan,” kata Reddy.

Pegawai cuaca berkata tiupan angin barat laut yang kering dan panas adalah punca berlakunya gelombang panas ini, yang diburukkan lagi dengan keadaan langit tanpa awan di kawasan ini.

“Bagaimanapun, arahnya kini berubah, jadi mungkin ada kelegaan dalam beberapa hari lagi,” kata Reddy.

Sementara itu, di Delhi cuaca paling panas direkodkan semalam ialah 45.6 selsius, menyebabkan tidak ramai yang berada di jalan raya utama.

Beberapa tempat di bandar raya ini dan kawasan sekitar, dengan penduduk berjumlah lebih 20 juta orang, mula mengalami gangguan bekalan air dan elektrik.

ARTIKEL YANG SAMA