Amaran polisi insurans/takaful palsu

Amaran polisi insurans/takaful palsu

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Baru-baru ini terjadi insiden penipuan melibatkan penjualan takaful/insurans oleh ejen atau individu tidak dilesenkan kepada orang awam.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini mengatakan, sebahagian pengguna yang terlibat hanya mengetahui bahawa polisi tersebut adalah palsu setelah mencuba untuk membuat tuntutan atau mendapatkan maklumat mengenai polisi tersebut daripada pengendali takaful/ syarikat insurans. Menerima salinan polisi sahaja daripada pengendali takaful/syarikat insurans adalah bukan praktis yang lazimnya dilakukan ketika awda membeli insurans.

AMBD dengan itu menasihatkan orang awam agar hanya berurusan dengan pengendali takaful, syarikat-syarikat insurans dan ejen takaful/insurans am yang dilesenkan oleh AMBD.

Orang ramai yang memilih untuk berurusan dengan orang yang tidak berlesen yang menawarkan produk atau perkhidmatan kewangan, akan mempunyai kontrak yang tidak boleh dikuatkuasakan dan tidak dilindungi di bawah rangka kerja kawal selia yang ditadbir oleh AMBD.

Rangka kerja kawal selia AMBD bertujuan untuk melindungi kepentingan orang ramai dan pengguna dengan memastikan hanya orang yang berwibawa dan berkelayakan sahaja diberi kuasa untuk memberikan perkhidmatan kewa-ngan di Negara Brunei Darussalam.

Senarai pengendali takaful dan syarikat insurans yang dilesenkan oleh AMBD, serta ejen takaful/insurans am yang berdaftar boleh diperoleh melalui aplikasi AMBD, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ untuk pengguna iPhone dan ‘Google Playstore ‘untuk pengguna Android; atau layari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn.

Orang ramai yang ingin mengetahui le-bih lanjut mengenai polisi takaful/insurans mereka, bolehlah menghubungi pengendali takaful atau syarikat insurans masing-masing. Untuk laporan mengenai sebarang kegiatan penipuan penjualan polisi takaful/ insurans, atau polisi takaful/ insurans yang dipegang adalah disahkan palsu, orang ramai bolehlah menghubungi AMBD melalui talian 2233371; atau melalui e-mel info@ambd.gov.bn; atau mengunjungi Perkhidmatan Isu Pengguna Kewangan di Tingkat Bawah, Dar Takaful IBB Utama Building, Bandar Seri Begawan.

ARTIKEL YANG SAMA