Amazon mula isytihar jualan di pasaran Eropah

Amazon mula isytihar jualan di pasaran Eropah

PARIS, 26 Mei (AFP) – Syarikat runcit online Amazon berkata ia telah mula mengisytiharkan jualan yang dicatat dalam pasaran utama Eropah di negara masing-masing dan bukannya Luxembourg, bermakna ia akan membayar cukai ke atas jualan di negara berkenaan.

Perjanjian percukaian Amazon di Luxembourg, di mana ia mencatat jualan Eropah dan membayar cukai di negara kecil tersebut dan bukannya pada sumber, telah menarik pelbagai kritikan mengatakan syarikat itu berusaha mengelak cukai, dan telah mencetuskan satu siasatan EU.

“Lebih daripada dua tahun lalu, kami memulakan proses untuk menubuhkan cawangan negara tempatan Amazon EU Sarl, syarikat operasi runcit utama kami di Eropah,” kata syarikat dalam satu kenyataan.

“Pada 1 Mei, Amazon EU Sarl mencatat jualan runcit yang dilakukan kepada pelanggan menerusi cawangan berkenaan di UK, Jerman, Sepanyol dan Itali,” kata syarikat dalam satu kenyataan.

“Sebelum ini, jualan runcit berkenaan dicatat di Luxembourg. Kami berusaha untuk membuka sebuah cawangan untuk Perancis.” Amazon adalah antara beberapa syarikat besar yang menjadi tumpuan di Eropah disebabkan perjanjian percukaian di Luxembourg dan tempat lain.

EU sedang menyiasat perjanjian cukai yang membabitkan syarikat gergasi teknologi AS Apple di Ireland, rangkaian kedai kopi Starbucks di Belanda dan Amazon dan pengeluar kereta Itali Fiat di Luxembourg.