AmBank jangka prestasi lebih baik pada 2016

AmBank jangka prestasi lebih baik pada 2016

GEORGE TOWN, 24 April – AMMB Holdings Bhd (Kumpulan AmBank) menjangkakan prestasi kewangan yang lebih baik tahun ini walaupun ketika prospek ekonomi yang lebih suram.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata, kumpulan itu akan kekal fokus kepada perniagaan yang menunjukkan momentum sederhana ke arah menjayakan agenda strategiknya.

“Kami akan memanfaatkan perkongsian strategik dan melaksanakan pengambilalihan, terus mengoptimumkan kecekapan dan membina platform mampan untuk pertumbuhan dan mencatat prestasi yang lebih baik dari segi kewangan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya, perbankan runcit akan terus memberi fokus kepada mengembangkan segmen akaun semasa dan akaun simpanan daripada RM18.5 bilion yang dilaporkan pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2015.

“Saya percaya terdapat peluang yang cerah dalam ekonomi dan kami akan merebut peluang itu dalam usaha meningkatkan prestasi kewangan kami,” kata Sulaiman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Ambank (M) Bhd. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA