AMBD anjur Jerayawara Sistem Pendaftaran Cagaran

AMBD anjur Jerayawara Sistem Pendaftaran Cagaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Sept – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan kerjasama Unit PENGGERAK, Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business (EODB) dan Darussalam Enterprises (DARE), hari ini, telah mengadakan je-rayawara bagi mengenalkan Sistem Pendaftaran Cagaran.

Berlangsung di Jabatan Perdana Menteri dan Design and Technology Building, Anggerek Desa, jerayawara itu dihadiri oleh pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Negara; ahli-ahli daripada dewan-dewan perniagaan, dan wakil daripada perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana (PKS), bank-bank serta firma undang-undang.

Jerayawara tersebut dimulakan dengan taklimat bagi mengenalkan Pejabat Pendaftaran Cagaran dan Perintah Transaksi Bercagar 2016, dan diikuti dengan taklimat bagi tatacara menggunakan Sistem Pendaftaran Cagaran.

Menurut kenyataan AMBD, jerayawara itu bertujuan untuk memperkenalkan Sistem Pendaftaran Cagaran kepada orang ramai, khususnya pihak PKS, bagi menerangkan bahawa melalui cagaran harta mudah alih (movable assets), syarikat-syarikat perniagaan boleh mendapatkan pinjaman kewangan untuk memajukan perniagaan masing-masing.

Dengan adanya sistem ini juga, orang awam, PKS dan syarikat-syarikat kini boleh memanfaatkan mana-mana harta mudah alih masing-masing kepada bank-bank atau syarikat kewangan bagi kemudahan mendapat kredit.

Sistem yang bakal mula beroperasi pada bulan Disember 2016 ini akan menggabungkan pendaftaran Bill of Sale, caj syarikat, kenderaan motor, beberapa jenis kapal dan kapal terbang dari jabatan-jabatan kerajaan. Jerayawara seumpamanya akan diadakan lagi di Dewan Persidangan Kuala Belait pada 26 September ini, jam 2 hingga 4 petang.

Sehubungan itu, para pengusaha PKS, syarikat-syarikat dan orang ramai adalah dijemput untuk hadiri pada jerayawara itu nanti.

ARTIKEL YANG SAMA