AMBD-BAB laksana RTGS

AMBD-BAB laksana RTGS

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Jun – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan kerjasama Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB) telah melaksanakan sistem Brunei Real-Time Gross Settlement System (RTGS) pada November 2014.

Ini adalah selaras dengan Perintah AMBD, 2010 dan 2015, di mana AMBD mempunyai tanggungjawab untuk membantu dalam mengadakan dan berfungsinya sistem pembayaran yang cekap dan untuk mengawasinya di Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan AMBD, RTGS adalah sistem pembayaran interbank yang digunakan untuk pemindahan dana yang bernilai besar dan juga pembayaran segera membolehkan bank-bank untuk memindahkan wang secara real-time.

Kelebihan yang terdapat dalam penggunaan sistem ini antara lainnya adalah mempercepatkan pembayaran bagi bank-bank dan pelanggan, dan mengelakkan risiko dana yang tidak mencukupi. Semua bank berlesen penuh di negara ini kini boleh menawarkan perkhidmatan tersebut, tertakluk kepada jumlah dana dalam akaun pelanggan yang membayar. Kenyataan itu turut berkata, sistem RTGS adalah nadi sistem pembayaran moden yang menyediakan asas bagi pelbagai perkhidmatan pembayaran elektronik.

RTGS Brunei adalah sistem RTGS yang pertama di ASEAN yang menggunakan mesej MX baru SWIFT ISO 20022, yang mana akan membolehkan Negara Brunei Darussalam untuk mengambil manfaat daripada integrasi ekonomi ASEAN.

Logo Autoriti Monetari Brunei Darussalam.
Logo Autoriti Monetari Brunei Darussalam.

Dengan pelaksanaan sistem ini juga, institusi-institusi kewangan boleh menggunakan mekanisme-mekanisme pembayaran lain berasaskan teknologi baru, seperti Automated Clearing House (ACH). AMBD dan bank-bank akan memperkenalkan sistem ACH baru, yang dijadualkan akan dilaksanakan pada akhir tahun ini. Sistem ini akan menyediakan kaedah pemindahan kredit secara elektronik di antara bank-bank seperti pemindahan kredit yang bernilai rendah, kemasukan gaji dan direct-debit di antara bank-bank.

Sistem ACH baru ini adalah bertujuan untuk menggantikan sistem manual pemprosesan cek yang ada pada masa ini. Pusat pemprosesan cek, yang sebelum ini dikendalikan di bawah Persatuan Bank-Bank Brunei (BAB) telah dipindahkan ke AMBD pada Disember 2014.

Pengenalan bersama sistem RTGS dan ACH ini adalah khusus bagi menyokong pertumbuhan pembayaran runcit secara elektronik, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pembayaran wang tunai dan cek secara manual, seperti yang telah dilaksanakan di negara-negara ASEAN yang lain.

Harga dan had nilai yang berbeza akan menggalakkan pelanggan untuk memilih kaedah yang lebih dipercayai dan cekap serta kaedah elektronik yang selamat. Mereka yang berhasrat mendapatkan keterangan lebih lanjut boleh menghantar e-mel menerusi alamat info@ambd.gov.bn.