AMBD giat aktif tingkat literasi kewangan

AMBD giat aktif tingkat literasi kewangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Dengan pasaran perbankan yang semakin matang di rantau Asia dan jumlah modal yang banyak untuk digunakan dengan lebih produktif, masanya adalah tepat untuk mengembangkan dan mempelbagaikan lagi sektor perkhidmatan kewangan khususnya dalam bidang pasaran modal selari dengan industri perbankan sebagai satu lagi pilihan bagi sumber pembiayaan serta sumber bagi pembangunan ekonomi mapan.

Adalah diketahui bahawa pasaran kewangan Asia secara tradisionalnya telah didominasi oleh bank manakala industri pasaran modal masih lagi kurang dibangunkan.

Selain daripada itu, penduduk Asia mempunyai sedikit pilihan melainkan untuk melabur dalam hartanah kerana kurangnya akses kepada produk pelaburan yang efisien yang memberikan mereka peluang untuk mendapatkan pulangan ekuiti premium di pasaran modal.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman dalam kata alu-aluannya pada Meja Bulat Tahunan Brunei Darussalam ke-12 yang berlangsung di Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian meja bulat yang membawa tema ‘Pasaran Modal: Mengenal pasti Penjana Pertumbuhan’ itu ialah Menteri Pendidikan selaku Timbalan Pengerusi AMBD, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman.

Awang Yusof berkata lagi bahawa peningkatan dari segi ilmu pengetahuan kewangan dalam kalangan penduduk Asia akan membawa kepada peningkatan jumlah dana yang mencari peluang bagi pulangan yang lebih tinggi serta kepelbagaian dalam pasaran ekuiti.

Oleh itu, pasaran modal di Asia harus melihat ke hadapan, ulasnya, untuk mencari peneraju pembangunan masa akan datang supaya dapat meraih keuntungan bagi para pemegang saham dan menyumbang kepada perkembangan serta pembangunan ekonomi.

Awang Yusof berkata, di rantau ASEAN, langkah-langkah signifikan telah diambil untuk mencapai integrasi Kewangan ASEAN termasuk dalam bidang pasaran modal.

“Walaupun masih banyak kerja perlu dilaksanakan, integrasi kewangan yang lebih mendalam akan membuahkan manfaat yang besar bagi ekonomi ASEAN.”

Antara manfaat itu, jelasnya, ia akan membantu menyalurkan dana di mana ia diperlukan, mengembangkan pilihan pelaburan bagi penyimpan, menyediakan lebih banyak alternatif bagi mendapatkan dana kepada firma-firma dan mengukuhkan kapasiti ekonomi untuk menahan kejutan kepada kestabilan.

Beliau berkata dalam usaha untuk menggalakkan penduduk untuk melabur dalam pasaran modal, AMBD sedang bergiat aktif untuk meningkatkan literasi kewangan dan mempromosikan perancangan kewangan.

Antara inisiatif terbaru yang dilaksanakan itu, jelasnya, ialah memperingati 28 Mei sebagai Hari Menabung Kebangsaan dan pelancaran Persatuan Perancangan Kewangan Brunei Darussalam.

Pada masa yang sama, AMBD telah melantik CIBFM sebagai pusat peperiksaan rasmi bagi tujuan keperluan pelesenan di bawah Perintah Pasaran Sekuriti, 2013.

Di samping itu, Program Pengamal Perancangan Kewangan (FPPP) juga dilaksanakan untuk memastikan bahawa perancang-perancang kewangan mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk berkhidmat secara efektif kepada masyarakat.

Perjumpaan meja bulat tahunan itu dianjurkan bersama oleh Asia Asset Management (AAM), Hong Kong dan Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) serta disokong oleh AMBD dan ditaja bersama oleh Fullerton Fund Management, Pioneer Investments dan Lion Global Investors.

Acara itu disertai oleh lebih 150 orang peserta dari dalam dan luar negara termasuk pegawai-pegawai kerajaan, pengawal-pengawal selia bidang kewangan dan pemain-pemain industri.

Ia merupakan sebuah platform bagi para pengawal selia tempatan dan antarabangsa serta pemain industri untuk berkongsi pengalaman, buah fikiran dan maklumat terkini mengenai dengan pasaran modal Islam dan Asia, inovasi dan FinTech, Urus tadbir korporat di Asia serta prospek ekonomi dan peluang-peluang pasaran bagi 2017.

Acara itu juga diharap dapat menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan sektor kewangan serta kemajuan modal insan dalam bidang berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA