AMBD hos mesyuarat WC-PSS

AMBD hos mesyuarat WC-PSS

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Mac – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), kelmarin, telah menghoskan Mesyuarat Jawatankuasa Sistem Pembayaran dan Penyelesaian (WC-PSS) ke-13, berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Menurut kenyataan AMBD, hari ini, penubuhan WC-PSS ini telah diluluskan pada Mesyuarat Gabenor Bank Pusat ASEAN pada April 2010 di Vietnam, dengan visinya “Pembayaran ASEAN yang menuju kepada memupuk sistem pembayaran dan penyelesaian yang bersepadu, selamat, dan berkesan di rantau ini bagi membolehkan perniagaan dan individu untuk membuat atau menerima pembayaran elektronik rentas sempadan dengan lebih mudah”.

WC-PSS bersidang sekurang-kurangnya dua kali setahun, untuk menyelaraskan usaha-usaha dalam mencapai wawasan ini.

Gambar ramai pegawai-pegawai ASEAN yang menghadiri Mesyuarat WC-PSS.
Gambar ramai pegawai-pegawai ASEAN yang menghadiri Mesyuarat WC-PSS.

Ia bertujuan untuk mempertingkatkan infrastruktur pembayaran domestik, menggalakkan perkhidmatan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap daripada perkhidmatan yang sedia ada, dan seterusnya mempertingkatkan lagi integrasi sistem-sistem di rantau ini.

Pada tahun ini, WC-PSS akan memberi tumpuan kepada tiga jawatankuasa kerja, iaitu, perhubungan dan interoperability sistem pembayaran, pengharmonian dasar dan piawaian, dan penyelesaian pasaran modal rentas sempadan.

Mesyuarat yang pertama kali diadakan di Negara Brunei Darussalam sejak penubuhan WC-PSS itu telah dihadiri oleh kesemua anggota negara ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA