AMBD laksana taklimat ‘Laporan Kredit Awda’

AMBD laksana taklimat ‘Laporan Kredit Awda’

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) melalui Unit Biro Kredit, kelmarin, telah mengadakan dua sesi taklimat bertajuk “Laporan Kredit Awda” yang berlangsung di Dewan Teater, Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, Berakas.

Menurut kenyataan AMBDB, taklimat yang dihadiri oleh lebih 200 orang pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan dan jabatan-jabatan di bawahnya ini, antara lain menyentuh mengenai fungsi dan tanggungjawab Biro Kredit serta memberi penerangan mengenai kegunaan laporan kredit dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya.

Taklimat ini merupakan salah satu program jerayawara anjuran Unit Biro Kredit dalam memberigakan perkhidmatan Biro Kredit, khususnya perkhidmatan Self-Inquiry yang telah mula dibukakan kepada orang ramai sejak bulan September tahun lepas.

AMBD dalam kenyataannya menyatakan, dengan adanya perkhidmatan Self-Inquiry ini, ia membolehkan mana-mana individu dan syarikat untuk mendapatkan laporan kredit masing-masing bagi menyemak maklumat-maklumat yang dilaporkan mengenai mereka ada betul dan terkemas kini.

Biro Kredit telah beroperasi sejak 10 September 2012 dan merupakan unit di bawah Jabatan Regulatori dan Penyeliaan AMBD, yang mana semua bank dan syarikat-syarikat kewangan yang berlesen di Brunei serta tabung amanah Islam adalah ahli-ahlinya.

Antara tugas dan tanggungjawab Biro Kredit adalah untuk mengumpul dan menyatukan maklumat fakta kredit peminjam individu dan entiti komersial daripada ahli-ahlinya, yang mana maklumat kredit berkenaan disediakan dalam bentuk laporan kredit kepada ahli-ahli.

Di samping itu, peminjam juga boleh melihat laporan kredit mereka sendiri bagi tujuan penyemakan. Laporan atau Self-Inquiry Report (SIR) tersebut boleh diperolehi di Pejabat Perkhidmatan Pelanggan Biro Kredit di Unit 1 Tingkat Bawah, Dar Takaful IBB Utama, Bandar Seri Begawan.

Bagi maklumat lanjut mengenai Biro Kredit, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.ambd.gov.bn/birokredit atau hantarkan e-mel kepada birokredit@ambd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA