AMBD lancar program pencepatan kepimpinan

AMBD lancar program pencepatan kepimpinan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Feb – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) hari ini melancarkan Program Pencepatan Kepimpinan (AMBD Accelerated Leadership Programme – ALP) iaitu program kepimpinan bagi pengurus-pengurus yang telah dikenalpasti berpotensi untuk menjadi pemimpin AMBD di masa hadapan.

Program anjuran bersama Pusat Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM) dan Singapore Institute of Management (SIM) itu juga boleh menilai pemimpin-pemimpin yang berpotensi dan seterusnya, meningkatkan kemahiran dan bakat kepimpinan dalam perjalanan kerjaya masing-masing.

Pelancaran program berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abd Rahman di Bangunan ILIA, Kampus Universiti Brunei Darussalam (UBD), Jalan Tungku-Link di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh AMBD di sini, Program AMBD ALP dibahagikan kepada tiga siri, dimana siri pertama adalah Junior Executive Program for Junior Leaders: Growing Leaders, dan akan melibatkan 26 pengurus-pengurus muda dari jabatan-jabatan dan unit-unit di bawah AMBD.

CIBFM adalah satu entiti latihan dibawah AMBD.

Sebagai sebuah Pusat Kecemerlangan, matlamat CIBFM adalah untuk menjadi platform pembangunan bakat insan bagi industri kewangan di Negara Brunei Darussalam dengan menyediakan latihan profesional dalam bidang-bidang utama seperti perbankan, kewangan, insurans/takaful, pasaran modal dan kepimpinan, pengurusan serta kajian profesional.

Manakala SIM adalah sebuah institusi terkemuka bagi pendidikan tinggi dan latihan profesional di Singapura.

SIM mula beroperasi sebagai pusat kecemerlangan pengurusan pada tahun 1964. SIM komited dalam membantu para peserta meningkatkan aspirasi mereka menjadi realiti.

Pendidikan berkualiti dan pelajaran berterusan adalah elemen penting dalam membentuk watak dan kecekapan pemimpin masa depan.

Dengan itu kerjasama diantara CIBFM dan SIM ini adalah tepat pada masanya dalam mengembangkan lagi masa depan pemimpin AMBD.

ARTIKEL YANG SAMA