AMBD longgarkan peraturan

AMBD longgarkan peraturan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Nov – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah melonggarkan syarat-syarat pembiayaan peribadi yang tidak bercagar dan kad kredit daripada bank-bank dan syarikat kewangan serta Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB).

Berdasarkan penggubalan terbaru ke atas Notis Peraturan AMBD yang berkuat kuasa pada 28 Oktober 2015, bank-bank boleh menawarkan kad kredit tanpa keperluan bagi peminjam untuk memasukkan gaji atau mencagarkan simpanan tetap kepada bank yang mengeluarkan kad kredit tersebut.

Pindaan itu juga membenarkan peminjam untuk menstruktur semula (restructure atau top-up) pembiayaan mereka setelah separuh (50%) daripada tempoh pembiayaan berkenaan dilunaskan, tertakluk kepada kriteria-kriteria tertentu mengenai rekod pembayaran balik peminjam berkenaan.

Pendapatan sewa dan pendapatan daripada perniagaan sole proprietors kini dibenarkan untuk diambil kira sebagai pendapatan bulanan dalam perkiraan nisbah keseluruhan khidmat hutang atau Total Debt Service Ratio (TDSR) tertakluk kepada syarat-syarat tertentu. Manakala itu, kad-kad kredit yang bercagar dengan simpanan tetap tidak akan diambil kira dalam perkiraan TDSR.

Sementara itu, pada 28 Mei 2015 yang lalu, AMBD juga telah mengeluarkan beberapa Notis Peraturan dengan tujuan untuk mengawal hutang isi rumah yang boleh menjadi sumber kelemahan kepada sosioekonomi secara keseluruhan.

Peraturan ini menggalakkan institusi-institusi kewangan untuk memberi pembiayaan yang lebih bertanggungjawab dan beretika, serta mempromosikan dan meningkatkan kebolehan pengurusan hutang dalam kalangan orang ramai bagi kepentingan kestabilan ekonomi dan kewangan di samping menjaga kepentingan orang ramai sebagai pelanggan.

Antara ciri utama notis-notis ini, yang telah berkuat kuasa mulai 8 Jun 2015, ialah pengenalan TDSR maksima kepada peminjam-peminjam yang ingin mengambil kemudahan pembiayaan.

Ini akan dapat memastikan baki gaji atau pendapatan peminjam bagi keperluan perbelanjaan seharian adalah mencukupi dan seterusnya berperanan sebagai alat untuk menggalakkan peminjam menguruskan hutang mereka dengan lebih cekap.

TDSR maksima yang ditetapkan oleh AMBD adalah 60 peratus bagi peminjam yang mempunyai gaji bersih minima sebanyak $1,750, dan bagi gaji bersih kurang daripada $1,750, peminjam adalah tertakluk kepada dasar dalaman institusi kewangan masing-masing mengenai TDSR.

Di bawah peraturan ini juga, bank-bank dan Perbadanan TAIB digalakkan untuk menawarkan Skim Penyatuan (Consolidation) Pembiayaan, yang bertujuan untuk menolong peminjam yang mempunyai beban hutang yang berlebihan dan pembayaran balik hutang bulanan yang tinggi.

Tertakluk kepada memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, skim ini membenarkan peminjam untuk menyatukan hutang yang sedia ada dan seterusnya dapat mengurangkan pembayaran balik bulanan secara keseluruhan.

Bank-bank dan Perbadanan TAIB yang menawarkan pembiayaan peribadi yang tidak bercagar juga dibenarkan untuk menawarkan had pembiayaan sebanyak 18 kali ganda daripada gaji bersih bulanan peminjam dengan tempoh pembiayaan maksima enam tahun.

Peminjam adalah dikehendaki untuk mendapatkan polisi perlindungan insurans/takaful bagi setiap pembiayaan peribadi yang tidak bercagar, sama ada yang baru atau yang telah distruktur semula. Ini akan memberikan perlindungan kepada peminjam jika berlaku kematian dan/atau kehilangan upaya kekal.

Manakala itu, caj-caj tertentu seperti caj bagi melunaskan baki hutang sebelum tamat tempoh pembiayaan (early settlement fees) dan caj bagi penstrukturan semula/top-up adalah dihadkan bagi membolehkan peminjam untuk melunaskan hutangnya secara awal tanpa bebanan kos tambahan yang tidak perlu.

Caj berkaitan dengan pengeluaran Certificate of Balance dan Clearance Letter juga dihadkan bagi membolehkan peminjam untuk memindah kepada bank pilihan peminjam berkenaan tanpa dikenakan caj yang tinggi.

Notis ini juga menghendaki institusi kewangan berkenaan agar lebih telus dan memberikan pendedahan maksima kepada pelanggan mengenai semua yuran dan caj yang dikenakan ke atas produk-produk dan perkhidmatan.

Langkah-langkah yang dikehendaki adalah termasuk memberikan Jadual Pembayaran Balik Pembiayaan setelah mendapat kelulusan ke atas pembiayaan baru.

Langkah-langkah ini bertujuan untuk menggalakkan pengurusan yang lebih baik ke atas hutang peribadi dan meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan orang ramai.

Bagi maklumat lanjut mengenai Penggubalan dan Notis-notis ini, orang ramai boleh melayari laman sesawang http://www.ambd.gov.bn/Lists/Announcements.