AMBD mula laksana sistem ACH

AMBD mula laksana sistem ACH

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), dengan kerjasama Persatuan Bank-bank Brunei (BAB), telah melaksanakan sistem Rumah Penjelasan Berkomputer (Automated Clearing House – ACH) Brunei pada 26 Mei 2016.

AMBD dalam satu kenyataan di sini berkata, pelaksanaan ACH itu adalah selaras dengan Perintah AMBD, 2010 dan 2015, di mana AMBD mempunyai tanggungjawab untuk membangun, mengurus dan menyelia sistem pembayaran Negara Brunei Darussalam.

Sistem ACH adalah sistem pembayaran yang membolehkan pelanggan untuk menghantar cek yang telah diimbas bagi penjelasan secara elektronik dan adalah menggantikan proses salinan cek kertas yang digunakan selama ini.

Ia juga membolehkan penghantaran elektronik kredit secara langsung, dan dengan itu, menghapuskan instrumen-instrumen berasaskan kertas, kata AMBD.

Menurut kenyataan itu lagi, penjelasan cek secara elektronik akan dilaksanakan terlebih dahulu di ACH Brunei dan seterusnya Manual Cheque Clearing House akan ditamatkan.

“Pelanggan yang menggunakan cek tidak akan terjejas dengan proses penjelasan baru ini, mengambil kira cek akan dihantar melalui kaedah elektronik dan akan masih dijelaskan dua hari kemudian (T+2).

“Cek Juruwang (Cashier’s Cheque) dan cek yang bernilai tinggi akan diproses dengan jadual yang berbeza. Perkhidmatan penjelasan khas (special clearing) masih boleh didapati seperti biasa,” jelas kenyataan itu lagi.

Menurut AMBD, fasa seterusnya bagi projek ACH Brunei ini adalah pelaksanaan pemindahan kredit am (general credit transfer), di mana pelanggan akan dapat memindahkan sejumlah wang antara bank-bank secara elektronik dalam waktu nyata (real-time).

ARTIKEL YANG SAMA