AMBD perjelas kadar tukaran

AMBD perjelas kadar tukaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) mendapati ada gambar yang disebarkan melalui media sosial mengenai dengan kadar pertukaran yang berbeza bagi Ringgit Brunei (BND) dan Singapore Dollar (SGD).

Sehubungan itu, AMBD menjelaskan bahawa di bawah Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang atau Currency Interchangeability Agreement (CIA) telah dikuatkuasakan pada tahun 1967 di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, kedua-dua buah negara masing-masing akan menerima SGD dan BND, pada nilai yang sama atau 1:1.

“Matawang Negara Brunei Darussalam yang ada dalam edaran di Republik Singapura boleh diterima sebagai ‘customary tender’ untuk membuat mana-mana pembayaran di Republik Singapura,” kata AMBD dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, autoriti-autoriti monetari dan bank-bank komersial di Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, masing-masing, boleh menerima dan membuat penukaran SGD dan BND, dengan nilai yang sama tanpa caj. Wang kertas yang telah rosak, bagaimanapun adalah dikecualikan daripada perjanjian tersebut.

AMBD berkata, perniagaan-perniagaan lain, seperti syarikat penukaran wang, teksi, ataupun kedai-kedai, tidak dimestikan oleh perjanjian ini untuk menerima kedua-dua matawang tersebut.

“Sebagai contoh, wang syiling bernilai SGD 1 tidak diterima secara meluas di Negara Brunei Darussalam. Sebaliknya, beberapa buah kedai dan perniagaan di Republik Singapura akan menerima wang polimer Negara Brunei Darussalam tetapi menolak wang syiling Negara Brunei Darussalam.

“Ini merupakan hak perniagaan tersebut. Dalam konteks syarikat penukaran wang di Republik Singapura, tidak ada larangan bagi syarikat berkenaan untuk mengenakan caj atau kadar pertukaran yang berbeza bagi BND dan SGD.

“Contohnya, syarikat penukaran wang tersebut mungkin akan menentukan kadar berikut, USD 1 = SGD 1.34 dan USD 1 = BND 1.36 dan seterusnya akan menentukan kadar pertukaran BND 1 = SGD 0.9251. Ini adalah berkaitan, pada lazimnya, dengan kos pertukaran, kos menyimpan BND, dan peredaran SGD di pasaran global yang lebih banyak dibandingkan dengan BND,” kata AMBD.

ARTIKEL YANG SAMA