AMBD perjelas soal matawang Brunei-S’pura

AMBD perjelas soal matawang Brunei-S’pura

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Okt – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) sekali lagi menjelaskan bahawa di bawah Perjanjian Kesalingbolehtukaran Matawang atau Currency Interchangeability Agreement (CIA), yang telah dikuatkuasakan pada tahun 1967 di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Singapura, Dolar Singapura (SGD) dan Ringgit Brunei (BND) masing-masing diterima pada nilai yang sama atau 1:1, tanpa caj, melalui autoriti-autoriti monetari dan bank-bank di kedua-dua negara.

Dengan itu, matawang Brunei yang ada dalam edaran di Singapura boleh diterima sebagai ‘customary tender’ untuk membuat mana-mana pembayaran di Singapura, dan matawang Singapura yang ada dalam edaran di Brunei boleh diterima sebagai ‘customary tender.’

Dalam konteks syarikat penukaran wang, tidak ada larangan bagi syarikat berkenaan untuk mengenakan caj atau kadar pertukaran yang berbeza bagi BND dan SGD. Ini merupakan hak perniagaan tersebut.

AMBD menjelaskan demikian dalam satu kenyataan hari ini sebagai susulan kepada kenyataannya yang dikeluarkan pada 27 September lalu, ekoran ada gambar yang disebarkan melalui media sosial mengenai dengan kadar pertukaran yang berbeza bagi BND dan SGD.

Dalam pada itu, AMBD turut mengingatkan bahawa orang ramai perlu bijak dalam membuat keputusan sebelum melaksanakan sebarang transaksi kewangan dengan membuat perbandingan yang bersesuaian, khususnya dalam membandingkan caj atau kadar pertukaran yang akan dikenakan.

Orang ramai juga boleh menggunakan BND di gedung-gedung perniagaan di Republik Singapura, yang pada lazimnya, juga akan menerima BND.

AMBD juga mengingatkan bahawa bagi menjamin nilai pertukaran matawang BND dan SGD yang sama tanpa caj, orang ramai bolehlah menukar matawang SGD ke matawang BND, atau matawang BND ke matawang SGD di kaunter bank-bank di kedua-dua negara.

Jika ada terdapat mana-mana bank yang menukar matawang BND dan SGD dengan nilai pertukaran matawang yang tidak sama, atau dengan caj, orang ramai dinasihatkan untuk memaklumkannya kepada Monetary Authority of Singapore (MAS) dan AMBD.

Maklumat lanjut mengenai dengan CIA di antara Brunei Darussalam dan Republik Singapura boleh didapati melalui AMBD App, yang boleh dimuat turun secara percuma melalui ‘App Store’ bagi pengguna iPhone dan ‘Google Playstore’ bagi pengguna Android; atau dengan melayari laman sesawang AMBD di http://www.ambd.gov.bn.

Orang ramai boleh menghubungi pihak AMBD di talian 2382186 atau melalui emel info@ambd.gov.bn, untuk pertanyaan lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA