AMBD perkenal data utiliti dalam laporan kredit

AMBD perkenal data utiliti dalam laporan kredit

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Feb – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) melalui Biro Kredit akan menggabungkan data utiliti pengguna ke dalam laporan kredit peribadi sebagai maklumat tambahan kepada data perbankan yang sedia ada.

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengumumkan penggabungan itu akan bermula Februari 2016 dan data utiliti ini akan berfungsi sebagai maklumat nilai tambah bagi kegunaan ahli-ahli Biro Kredit yang terdiri daripada kesemua bank, syarikat kewangan dan juga Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB)yang berlesen di negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, pengenalan data utiliti ke dalam laporan kredit ini akan memberi kesan positif kepada institusi-institusi kewangan dan orang ramai daripada segi akses kepada kredit.

Daripada perspektif institusi kewangan, maklumat tambahan ini akan meningkatkan lagi pengurusan risiko kredit masing-masing dengan memberi satu lagi dimensi dalam menilai pendedahan kredit atau ‘credit exposure’ dan ‘credit-worthiness’ pelanggan-pelanggan mereka.

Ia juga akan dapat membantu mengurangkan risiko hutang lapuk (non-performing loans).

Daripada perspektif orang ramai pula, ianya akan mendorong mereka dalam menguruskan obligasi kewangan masing-masing secara menyeluruh, dengan memastikan pembayaran pinjaman dan pembayaran bil dibuat tepat pada masanya.

Pada bulan September 2014, Biro Kredit AMBD telah melancarkan perkhidmatan Self-Inquiry & Dispute Resolution bagi tujuan membolehkan individu atau entiti perniagaan membuat pengesahan ke atas maklumat-maklumat yang dilaporkan oleh institusi-institusi kewangan.

Laporan Kredit peribadi yang dikenali sebagai Self-Inquiry Report, memaparkan maklumat-maklumat mengenai kemudahan kredit masing-masing, seperti perkhidmatan overdraft, kad kredit dan pembiayaan kenderaan, yang diberikan oleh mana-mana institusi kewangan.

Individu-individu dan entiti-entiti perniagaan juga digalakkan untuk menyemak laporan kredit masing-masing dengan kerap dalam memantau pendedahan kredit mereka dengan mudah agar mereka dapat membina reputasi kredit serta hubungan perniagaan dengan institusi kewangan dengan lebih baik.