AMBD tandatangani perjanjian dengan IOS Partners

AMBD tandatangani perjanjian dengan IOS Partners

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) baru-baru ini telah menandatangani kontrak bagi pembentukan dan pelaksanaan Sistem Pendaftaran Cagaran dengan IOS Partners di Ibu Pejabat AMBD, Bangunan Kementerian Kewangan, Bandar Seri Begawan.

Menandatangani bagi pihak AMBD ialah Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman manakala bagi pihak IOS Partners pula ialah Pengarah Urusan Kanannya, Robert S. Hans. Penandatangan disaksikan oleh Ketua Pejabat Pendaftaran AMBD, Haji Mohd Zulkairi bin Haji Mohd Noor dan Pengarah Pengurusan Projek IOS Partners, Tea Alania. Majlis penandatangan turut dihadiri pegawai-pegawai AMBD dan wakil-wakil IOS Partners.

AMBD dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, mengatakan objektif utama Sistem Pendaftaran Cagaran ini ialah untuk menyediakan infrastruktur bagi memudahkan urusan perniagaan di Negara Brunei Darussalam dengan mengadakan sistem pendaftaran cagaran secara online. Sistem ini membolehkan pendaftaran kenyataan pembiayaan yang mengandungi maklumat peminjam, maklumat pemberi pinjaman dan maklumat mengenai barang-barang yang dicagarkan.

Pengguna yang telah berdaftar, terdiri daripada institusi-institusi kewangan dan agensi-agensi yang berkenaan, juga boleh mengakses maklumat mengenai kenyataan pembiayaan dan cagaran masing-masing daripada sistem ini nanti.

AMBD_IOS Partners

 

Perintah Transaksi Bercagar, 2016, telah diwartakan pada Februari 2016, dan sebuah Pejabat Pendaftaran Cagaran telah ditubuhkan di bawah Seksyen 6 daripada perintah tersebut, yang bertanggungjawab di dalam menyelenggarakan pendaftaran ‘security interest’. Perintah ini membolehkan pemberi pinjaman untuk mendapatkan ‘security interest’ pada barang-barang peribadi peminjam yang dicagarkan bagi menjamin pembayaran.

Undang-undang ini secara langsung akan memudah carakan pengurusan dan pemberian kredit.

Pembentukan Sistem Pendaftaran Cagaran ini juga akan menyediakan sistem moden lagi berkesan untuk mengesan aset-aset yang telah dicagarkan, yang sebelum ini kurang ketelusan.

Oleh yang demikian, sistem ini akan dapat mengurangkan risiko pemberian kredit dan dapat menurunkan kos mengenainya.

Di samping itu, Sistem Pendaftaran Cagaran dan undang-undang Perintah Transaksi Bercagar ini diharap akan dapat membantu peniaga-peniaga untuk memanfaatkan aset-aset mereka bagi mendapatkan kredit ke arah mengembangkan lagi perusahaan mereka.

Pihak IOS Partners telah membuat perjum-paan dengan agensi-agensi yang berkenaan untuk mendapatkan maklumat yang lebih lanjut bagi memudahkan dan mempercepatkan lagi proses pembentukan Sistem Pendaftaran Cagaran ini.

Pelaksanaan Sistem Pendaftaran Cagaran ini mencerminkan komitmen negara dalam membina persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, dan akan menaik taraf kedudukan negara dalam tangga World Bank Ease of Doing Business Ranking.

Bagi maklumat lanjut mengenai Collateral Registry AMBD, bolehlah menghubungi AMBD melalui e-mel collateral.registry@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA