AMBD, TelBru tandatangani MoU

AMBD, TelBru tandatangani MoU

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Telekom Brunei Berhad (TelBru) untuk mewujudkan satu asas kerjasama dan usaha sama bagi kedua-dua belah pihak berhubung dengan pembekalan maklumat-maklumat pengguna kredit kepada Biro Kredit AMBD.

Menandatangani bagi pihak AMBD ialah Pemangku Timbalan Pengarah Urusan, Hajah Nurliati binti Haji Mohd Idris, manakala itu, pihak TelBru diwakili oleh Ketua Pegawai Kewangan TelBru, Dayang Nurbahriah Eliza binti Abdullah.

Penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan di Bangunan Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di sini, baru-baru ini, dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Kewangan TelBru, Hajah Rashidah binti Haji Sabtu. Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan AMBD dan TelBru.

Menurut kenyataan AMBD, inisiatif perkongsian maklumat ini bertujuan untuk meningkatkan lagi pengurusan risiko kredit dengan membekalkan pemberi pinjaman dengan data utiliti sebagai maklumat kredit alternatif daripada pembekal-pembekal perkhidmatan ‘credit-like’, seperti perkhidmatan telekomunikasi.

Dengan penandatanganan MoU ini juga, ia akan mempermudah lagi komitmen negara dalam membina persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, khususnya dalam meningkatkan kemudahan mendapatkan kredit.

Hajah Nurliati mewakili AMBD dan Dayang Nurbahriah Eliza mewakili TelBru menandatangani MoU bagi kedua-dua belah pihak.
Hajah Nurliati mewakili AMBD dan Dayang Nurbahriah Eliza mewakili TelBru menandatangani MoU bagi kedua-dua belah pihak.

Dengan pembekalan maklumat-maklumat daripada pembekal telekomunikasi/utiliti ke dalam repositori Biro Kredit, ianya akan memperluaskan lagi skop dan aksesibiliti maklumat kredit.

AMBD dalam kenyataannya menjelaskan, data utiliti berfungsi sebagai maklumat nilai tambah yang boleh digunakan oleh pemberi pinjaman dalam membantu mereka menilai risiko pengguna. Maklumat ini juga akan meningkatkan lagi penilaian risiko bagi pengguna-pengguna yang tidak mempunyai sejarah kredit dan juga bagi peminjam yang mempunyai kekurangan sejarah kredit.

Di samping itu, maklumat ini akan berfungsi sebagai satu proksi bagi ketersediaan dan keupayaan bayaran balik peminjam.

Laporan maklumat-maklumat mengenai pembayaran balik dan pembayaran yang bermasalah akan mendorong pengguna-pengguna untuk mewujudkan dan mengekalkan kedudukan kredit atau sejarah pembayaran yang baik bagi memastikan mereka mempunyai akses kepada kredit dengan lebih baik.

Biro Kredit merupakan sebuah unit di bawah Jabatan Regulatori dan Penyeliaan, AMBD, dan ia mula beroperasi sejak bulan September 2012 dengan fungsi utamanya adalah untuk mengumpul, menyatukan dan mengedarkan maklumat-maklumat kredit yang berhubung dengan penilaian kepercayaan kredit (creditworthiness), atau keupayaan untuk memenuhi obligasi hutang-hutang seseorang individu atau sesebuah entiti komersial.

Secara amnya, pengongsian maklumat boleh membantu mengurangkan masalah-masalah yang timbul disebabkan oleh maklumat asimetri dalam pasaran kredit.

Untuk maklumat lanjut mengenai Biro Kredit AMBD, sila layari http://www.ambd.gov.bn/birokredit atau e-mel birokredit@ambd.gov.bn.

ARTIKEL YANG SAMA