AMBD terima kunjungan ahli parlimen Timor-Leste

AMBD terima kunjungan ahli parlimen Timor-Leste

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Julai – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), hari ini, telah menerima lawatan daripada rombongan ahli-ahli Parlimen Kebangsaan Timor-Leste di ibu pejabat AMBD, Commonwealth Drive, di sini.

Hadir mengalu-alukan rombongan tersebut ialah Pengarah Urusan AMBD, Awang Yusof bin Haji Abdul Rahman serta pegawai-pegawai kanan AMBD.

Rombongan kunjungan berkenaan telah diketuai oleh Presiden bagi Jawatankuasa C–Kewangan dan Hal Ehwal Ekonomi, Virgilio Maria Dias Marcal dan disertai seramai 15 orang ahli Parlimen Kebangsaan Timor-Leste yang lainnya.

Rombongan ahli parlimen Timor-Leste bergambar ramai semasa lawatan ke AMBD kelmarin.
Rombongan ahli parlimen Timor-Leste bergambar ramai semasa lawatan ke AMBD kelmarin.

Antara tujuan utama lawatan ke AMBD ini adalah untuk mempelajari dan memahami dengan lebih mendalam tentang pengalaman, sejarah dan perkembangan mata wang Negara Brunei Darussalam.

Dalam kunjungan itu, rombongan berkenaan turut dibawa melawat ke Galeri Mata Wang AMBD, di Bangunan BCMB, Kompleks Kementerian Kewangan, Commonwealth Drive, di ibu negara.

Rombongan berkenaan berada di negara ini bagi lawatan muhibah selama enam hari, dari 17 hingga 23 Julai 2016, dengan tujuan mengukuhkan hubungan antara Republik Demokratik Timor-Leste dan Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA