AMBD terima kunjungan penuntut

AMBD terima kunjungan penuntut

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mac – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), baru-baru ini, telah menerima rombongan lawatan dari beberapa buah sekolah rendah dan sekolah menengah secara berasingan bersempena dengan Global Money Week 2016.

Lawatan yang dianjurkan oleh AMBD dengan kerjasama Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan ini bermula dengan para penuntut menyaksikan koleksi mata wang yang terdapat di Galeri Mata Wang AMBD, diikuti dengan aktiviti yang bertemakan industri kewangan, dan seterusnya, penerangan mengenai fungsi-fungsi AMBD serta sejarah mata wang Negara Brunei Darussalam.

Rombongan terdiri daripada penuntut Sekolah Rendah Pintu Malim; Sekolah Rendah Nusa Laila Puteri Sungai Buloh; Sekolah Rendah Pulaie; Sekolah Rendah Pasir Berakas; Sekolah Rendah PSN Pengiran Mohd Yusof; Sekolah Rendah Batang Mitus; Sekolah Rendah Mentiri; Sekolah Rendah Tanah Jambu; Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar; Sekolah Menengah Sayyidina Othman; Sekolah Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Saleha; Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri; Sekolah Rendah Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar; Sekolah Menengah Sufri Bolkiah; dan Sekolah Sukan.

Para penuntut dan guru pengawas mereka bergambar ramai ketika lawatan itu.
Para penuntut dan guru pengawas mereka bergambar ramai ketika lawatan itu.

Menurut kenyataan AMBD, Galeri Mata Wang AMBD telah dibuka rasmi pada tahun 2006 dan mempamerkan jenis-jenis wang kertas dan syiling yang digunakan oleh Negara Brunei Darussalam sejak abad ke-14 serta wang syiling dan wang kertas kenang-kenangan.

Global Money Week (GMW) diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kewangan yang disambut setiap tahun oleh 118 buah negara seluruh dunia.

Acara ini dianjurkan oleh Child & Youth Finance International (CYFI) dan Negara Brunei Darussalam telah menyertai acara ini sejak tahun 2013 dengan dikelolakan oleh pihak Jabatan Perkembangan Kurikulum, dan Tabung Amanah Pekerja (TAP).

ARTIKEL YANG SAMA