AMBD teruskan jerayawara CRS

AMBD teruskan jerayawara CRS

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 26 Sept – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) meneruskan jerayawara bagi memperkenalkan Sistem Pendaftaran Cagaran (CRS) yang dijangka mula dikuatkuasakan dengan pelancaran sistem pada Disember ini.

Jerayawara tersebut yang dihadiri oleh wakil-wakil syarikat swasta dan juga jabatan-jabatan kerajaan berlangsung di Dewan Persidangan, di sini, diisikan dengan penerangan mengenai sistem CRS yang disampaikan oleh IOS Partners, Sasa Casic dan Elrir Cisija, Penolong Pegawai AMBD, Awang Mohd Shahrol bin Ramlan serta pegawai lainnya.

Sistem CRS secara dalam talian dijangka membolehkan pendaftaran kepentingan keselamatan pada harta mudah alih dan diperkenalkan dengan pewartaan Perintah Transaksi Bercagar 2016 awal tahun ini, menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai salah sebuah daripada negara ASEAN yang pertama memperkenalkan sistem ini.

CRS akan dapat memudahkan orang ramai mendapatkan kredit selain pelaksanaan inisiatif untuk meningkatkan lagi kedudukan negara ini dalam ranking Ease of Doing Business (EODB), Bank Dunia, dengan sokongan daripada Unit PENGGERAK, Jabatan Perdana Menteri dan Jawatankuasa Pandu EODB.

Awang Mohd Shahrol dalam taklimatnya antara lain memberitahu, melalui sistem CRS itu nanti, proses mendapatkan pinjaman bagi syarikat-syarikat perniagaan dan individu akan lebih mudah mengambil kira aset masing-masing boleh dicagarkan bagi tujuan pinjaman.

Sasa Casic semasa menyampaikan taklimat mengenai CRS.
Sasa Casic semasa menyampaikan taklimat mengenai CRS.

Dengan adanya sistem itu, pihak bank akan lebih cenderung untuk memberi pinjaman kerana pembiayaan pinjaman adalah bercagar serta boleh dikuatkuasakan apabila peminjam tidak melunaskan pinjaman.Menurut beliau lagi, kaedah pembiayaan bercagar ini akan menggalakkan lagi aktiviti-aktiviti ekonomi yang akan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Beberapa orang yang ditemui selepas itu menyatakan, mereka berharap sistem CRS itu nanti akan dapat membantu memudahkan lagi urusan memajukan perniagaan mereka dan berharap ia boleh mempercepatkan lagi proses kelulusan pinjaman oleh pihak bank.

Sistem itu juga dilihat sebagai satu langkah membantu terutama peniaga tempatan untuk mempunyai pilihan selain apa yang ada pada masa ini bagi cagaran pinjaman hanyalah dimestikan ke atas tanah dan bangunan sahaja.

Dan mereka melihat sistem tersebut membuka ruang dalam menempatkan kesemua harta mudah alih (aset) yang boleh didaftarkan bagi tujuan pinjaman amat baik dan amat efisen serta amat membantu.

AMBD, baru-baru ini telah mendatangani satu kontrak bagi pelaksanaan CRS bersama IOS Partners, sebuah vendor dari Amerika Syarikat yang mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam membangun dan melaksanakan projek-projek berkaitan CRS di seluruh dunia.