AMBD teruskan jerayawara

AMBD teruskan jerayawara

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) terus memberigakan peranannya bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan para pegawai dan kakitangan agensi-agensi kerajaan dengan mengadakan jerayawara-jerayawara.

Baru-baru ini, AMBD telah mengadakan jerayawara seumpa-manya di Dewan Digadong, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di mana wakil dari Unit Biro Kredit AMBD telah menyampaikan taklimat bertajuk ‘Credit Bureau – Its Role in Your Financial Future’ bagi menerangkan peranan dan kepentingan biro itu serta perkhidmatan dan manfaat yang dapat diperolehi daripada laporannya.

Semasa sesi taklimat tersebut, menurut kenyataan yang dikeluarkan AMBD, elemen ‘kepercayaan’ telah digariskan dengan menekankan kepentingan membina dan mengekalkan elemen tersebut di antara peminjam dan institusi kewangan apabila memohon kemudahan kredit.

Taklimat mengenai ‘penipuan kewangan’ pula mendedahkan cara-cara untuk mengenal pasti penipuan kewangan seperti skim yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa yang singkat bagi membantu melindungi orang ramai daripada menjadi mangsa penipuan.

Salah seorang penceramah menyampaikan taklimat semasa Jerayawara AMBD di Dewan Digadong, KKBS, baru-baru ini.
Salah seorang penceramah menyampaikan taklimat semasa Jerayawara AMBD di Dewan Digadong, KKBS, baru-baru ini.

Selain itu, taklimat juga menekankan mengenai kepentingan dan manfaat untuk berurusan dengan institusi kewangan berlesen dengan merujuk kepada senarai sah institusi itu di laman sesawang AMBD dan aplikasi AMBD.

Institusi-institusi kewangan yang berlesen dikawal selia di bawah undang-undang yang relevan, dan akan melindungi pengguna daripada amalan yang tidak adil.

Kakitangan berkelayakan di institusi berkenaan akan memberikan perkhidmatan profesional dengan kepakaran yang khusus.

Taklimat terakhir mengenai Perintah Mata Wang 2004 pula disampaikan oleh wakil dari Unit Pengurusan Mata Wang yang antara lain menerangkan tatacara yang betul dalam mengendalikan mata wang dan duit syiling Negara Brunei Darussalam.

Semasa jerayawara tersebut, para pegawai dan kakitangan KKBS juga diberi peluang untuk mendapatkan laporan kredit ataupun Self-Inquiry Report (SIR) mereka seperti kad kredit, pembiayaan peribadi, pembiayaan kenderaan motor, bil elektrik dan lain-lain daripada pelbagai institusi kewangan dan juga institusi bukan kewangan.

Dengan mengkaji semula SIR secara teratur, ia akan membolehkan individu dan juga entiti perniagaan untuk memastikan semua maklumat dalam laporan kredit yang telah dilaporkan oleh institusi kewangan dan juga institusi bukan kewangan adalah betul dan dikemas kini. Pada masa yang sama, Unit Pengurusan Mata Wang juga membuka kaunter sementara bagi penjualan dan galeri duit syiling kenang-kenangan Negara Brunei Darussalam.

Jerayawara ini merupakan yang keempat daripada siri jerayawara AMBD selepas diadakan bagi pegawai dan kakitangan Kementerian Kewangan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Perhubungan sebelum ini.

ARTIKEL YANG SAMA