Ambil berat orang sakit

Ambil berat orang sakit

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 15 Jan – Hamba Allah tidak akan dapat lari daripada menerima sebarang ujian daripadaNya dan antara ujian itu ialah sakit yang perlu diterima penuh sabar, reda, berusaha untuk merawat penyakit tersebut serta berdoa dan bertawakal kepadaNya.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini memperkatakan mengenai ujian sakit kepada manusia dan menyeru apabila terdapat saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai sedang sakit, maka merupakan tanggungjawab kita sebagai Muslim untuk mengambil berat mengenai mereka dengan menziarahi mereka.

Menurut Khatib, itu adalah satu cara yang dianjurkan agama Islam untuk kita mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturahim serta merupakan hak seorang Muslim ke atas seorang Muslim yang lain.

“Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat ‘Mukhadat’ iaitu sunat yang sangat dituntut dan tidak hanya terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, malah disunatkan kepada saudara Muslim yang tidak dikenali hatta musuh atau orang yang pernah menyakitkan kita. Manakala hukum menziarahi kafir dham pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia daripada kalangan ahli keluarga terdekat atau jiran atau kerana berharap supaya dia memeluk Islam,” kata Khatib lagi.

Namun dalam menziarahi pesakit, terdapat adab-adab perlu kita ikuti antaranya ialah tujuan menziarahi hendaklah ikhlas kerana Allah S.W.T, dengan niat yang baik dan kasih sayang. Menziarahi juga perlu pada waktu yang sesuai, jangan terlalu lama kerana dikhuatiri mengganggu pesakit atau orang lain jika di hospital.

Selain itu, ketika berbual dengan pesakit, hendaklah mengucapkan kata-kata yang baik dan menyenangkan, menggembirakan dan menenteramkan hati orang yang sakit, disunatkan memberikan nasihat agar bersabar dan mendoakan orang sakit supaya cepat sembuh serta tidak bercerita mengenai perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain.

ARTIKEL YANG SAMA