Ambil Caulker langkah penting – Klopp

Ambil Caulker langkah penting – Klopp

LIVERPOOL, 13 Jan (Agensi) – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp, menyifatkan tindakan menandatangani Steven Caulker secara pinjaman sebagai langkah penting kerana kelab itu kini berdepan krisis kecederaan pemain.

Caulker menyertai Liverpool secara pinjaman dari Queens Park Rangers selepas tempoh pinjamannya ke Southampton berakhir dengan dia dijangka diturunkan pada aksi menentang Arsenal, awal pagi ini.

Liverpool kehilangan semua pertahanan tengah berpengalaman akibat masalah kecederaan dengan Martin Skrtel diketepikan selama seminggu dan Dejan Lovren juga tidak dapat diturunkan pada aksi tumpuan itu, dengan mereka perlu menunggu keadaan semasa kecergasan Kolo Toure dan juga Mamadou Sakho.

Menerusi laman web rasmi pasukan Liverpool, Klopp menyifatkan kehadiran Caulker ke pasukan itu tepat pada masanya.

“Empat minggu lalu, kami tidak menjangka situasi ini berlaku kerana semua pertahanan tengah berada pada keadaan terbaik ketika itu dan dengan kehadiran Joe Gomez, itu menjadikan kami memiliki lima pertahanan tengah.

“Tetapi situasi berubah dan memaksa kami mempertimbangkan untuk memiliki pemain baharu pada posisi itu dan melihat kepada kecederaan yang dialami semua pemain, kami berfikir kami perlu mencari pemain baharu.

“Kami mencari pemain yang memiliki pengalaman beraksi dalam Liga Perdana kerana mahukan mereka cepat menyesuaikan diri dan kami merasakan Caulker adalah jalan penyelesaian terbaik buat kami,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA