Ambil ilmu, bukan budaya

Ambil ilmu, bukan budaya

LONDON, 14 Dis – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengingatkan pelajar-pelajar Brunei di luar negara agar menumpukan perhatian kepada pengajian mereka dan tidak terpengaruh dengan sesuatu yang tidak berfaedah dan merugikan.

Titah Baginda dalam era ini, macam-macam perkara boleh berlaku yang boleh memalingkan seseorang itu daripada tanggungjawabnya kepada sesuatu yang tidak berfaedah, lagi merugikan.

Baginda seterusnya menekankan bahawa kewajipan para pelajar adalah tidak ada dua tiga, cuma satu sahaja, iaitu untuk belajar dan lulus dalam pengajian.

“Para pelajar perlu sedar bahawa mereka adalah aset negara, dan selaku aset, mereka tidak boleh cacat atau susut nilai. Jika aset itu cacat atau susut nilai, maka ianya bukan lagi bernama aset.”

Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah demikian pada Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam Yang Berada di United Kingdom dan Ireland Utara, dan Penganugerahan Biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam bagi Sesi 2015/2016.

Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Hotel Hilton on Park Lane, London, United Kingdom kelmarin. – Infofoto
Baginda Sultan dan Baginda Raja Isteri berkenan berangkat ke Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam di Hotel Hilton on Park Lane, London, United Kingdom kelmarin. – Infofoto

Majlis tersebut berlangsung di Hotel Hilton on Park Lane, London, United Kingdom.

Baginda Sultan memulakan titah dengan memanjatkan syukur kehadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dapat pula bersama-sama dengan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, penuntut, pegawai kerajaan dan mereka yang sedang dalam percutian bersama keluarga.

Baginda seterusnya bertitah bahawa perjumpaan seperti ini memberikan peluang kepada Baginda untuk mengetahui dengan lebih dekat lagi akan perkembangan khususnya kemajuan dan susah-senang yang dilalui oleh para pelajar di United Kingdom dan Ireland Utara.

Menurut Baginda lagi, adalah penting untuk memastikan para pelajar tidak akan ke mana-mana melainkan semata-mata bulat menumpukan perhatian kepada pengajian sahaja.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya bertitah bahawa para pelajar mesti betul-betul memahami akan kedudukan ‘sistem nilai’.

Dalam hal ini, Baginda menegaskan bahawa para pelajar berada di negara orang lain adalah semata-mata untuk mengambil ilmu dan bukan untuk mengambil budaya atau cara hidup orang lain.

“Inilah caranya untuk memelihara dan mempertahankan sistem nilai para pelajar masing-masing.”

Baginda juga bertitah bahawa untuk lebih menjelaskan lagi mengenai dengan sistem nilai ini, Negara Brunei Darussalam sekarang Alhamdulillah, sedang diberkati oleh Allah dengan sistem pemerintahan Melayu Islam Beraja (MIB).

“MIB inilah sistem nilai negara. Di mana pun berada, sistem MIB ini perlu sentiasa ada bersama-sama kita. Janganlah ianya disembaranakan.”

Menyembaranakan MIB itu, tambah Baginda, bererti menyembaranakan sistem nilai jati diri kita. Tunjang MIB itu ialah ajaran Islam tulen. Oleh itu, tambah Baginda, janganlah berganjak dari ajaran ini.

“Peganglah ia kuat-kuat tanpa perlu menoleh atau melihat ke mana-mana lagi. Inilah warisan turun temurun yang mesti dibanggakan,” tegas Baginda.

Baginda juga mengingatkan bahawa kini terdapat ramai penjaja ajaran dan ideologi yang bergerak ke sana ke mari untuk mempromosikan ajaran dan ideologi melalui pelbagai cara, sama ada dengan cara tulisan mahupun melalui lisan.

Menurut Baginda, fokus atau sasaran mereka ini ialah masyarakat, khasnya para belia dan pelajar. Moto mereka yang popular iaitu ‘pembaharuan,’ mengajak untuk berubah dengan alasan bahawa yang lama sudah tidak sesuai lagi dengan zaman.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya mengingatkan para pelajar khasnya dan masyarakat amnya supaya jangan mudah terpengaruh dan mereka mestilah merujuk kepada pihak-pihak berautoriti untuk mendapatkan penerangan atau kepastian yang sebenar-benarnya.

Baginda seterusnya berkenan mengucapkan tahniah kepada dua orang pelajar yang terpilih di bawah Skim Biasiswa ‘The Chancellor’s Scholar’ Universiti Brunei Darussalam bagi Sesi 2015/2016 dalam pengajian peringkat PhD di institusi terkemuka di dunia.

Baginda berharap, penerima-penerima biasiswa ini akan terus fokus kepada matlamat mereka selaku pelajar di samping memelihara jati diri selaku orang Brunei, dan seterusnya membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk melakar kejayaan dan kecemerlangan di dalam bidang masing-masing.

Pada mengakhiri titah, Baginda turut mendoakan semoga para pelajar dan pegawai yang sedang berada di United Kingdom dan Ireland Utara, akan sama-sama berjaya menunaikan tanggungjawab masing-masing serta beroleh kesejahteraan dan keselamatan.

ARTIKEL YANG SAMA